
KUCHING: Pembukaan Cawangan Kuching JSP Wellness Bone Alignment merupakan satu langkah penting dalam memperluaskan perkhidmatan kesejahteraan dan pendidikan penjajaran badan profesional di Sarawak dan Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang.
Berucap pada majlis perasmian cawangan tersebut pada 23 Mei lalu, beliau memuji usaha JSP Wellness dalam meningkatkan kesedaran kesihatan awam serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, aspek kesihatan dan kesejahteraan semakin penting dalam masyarakat masa kini yang berdepan pelbagai cabaran seperti postur badan yang lemah, gaya hidup tidak aktif, tekanan serta ketegangan fizikal.
“Organisasi seperti JSP Wellness memainkan peranan penting dalam membantu membina masyarakat yang lebih sihat dan berdaya tahan melalui peningkatan kesedaran terhadap kesihatan fizikal dan kesejahteraan,” katanya.
Lo turut memuji kepimpinan dan dedikasi pasukan JSP Wellness dalam menubuhkan cawangan di Kuching, yang disifatkannya sebagai sumbangan bermakna ke arah merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju dan makmur menjelang 2030.
Sementara itu, pengasas JSP Wellness Bone Alignment, Grand Master Jack Lee berkata, misi organisasi itu adalah untuk membantu orang ramai memahami tubuh badan mereka dengan lebih baik, meningkatkan kualiti hidup serta mencapai tahap kesejahteraan yang lebih baik melalui pendidikan dan kesedaran mengenai penjajaran badan profesional.
“Misi kami bukan sekadar menyediakan perkhidmatan kesejahteraan, malah melahirkan pengamal profesional yang mampu memberi impak positif kepada komuniti menerusi ilmu, etika dan khidmat mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penjajaran badan tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti rawatan perubatan kerana perubatan moden tetap memainkan peranan penting dalam diagnosis, rawatan dan penyelamatan nyawa.
Menurutnya, peluasan JSP ke Sarawak dan Sabah didorong oleh hasrat untuk memudahkan akses kepada penduduk di kedua-dua negeri yang sebelum ini terpaksa ke Pulau Pinang bagi mendapatkan konsultasi dan perkhidmatan berkaitan.
“Bagi warga emas, individu yang mempunyai masalah pergerakan dan orang kurang upaya (OKU), perjalanan jarak jauh boleh menjadi beban dari segi fizikal dan kewangan. Kami berharap dapat membawa perkhidmatan ini lebih dekat kepada mereka,” katanya.
Jack turut menyatakan keyakinannya terhadap Pengarah Cawangan Sarawak dan Sabah, Master Kent Loh Ing Kian, yang disifatkannya sebagai seorang pengamal berdedikasi serta memiliki kemahiran profesional dan kepimpinan yang cemerlang.
Master Kent berkata, pembukaan cawangan di Kuching merupakan satu pencapaian penting selepas penubuhan cawangan pertama JSP di Sibu pada 2021.
“Apa yang bermula sebagai impian untuk membawa kemahiran penjajaran badan profesional ke Sarawak dan Sabah kini menjadi kenyataan. Pembukaan cawangan Kuching menandakan permulaan bab baharu dalam usaha kami untuk berkhidmat kepada lebih banyak komuniti di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri pemimpin masyarakat, profesional kesihatan, wakil sektor perniagaan, pengamal, pelajar, pelanggan serta penyokong dari seluruh Sarawak.
Oleh Connie Chieng