JPJ ingatkan ibu bapa utamakan keselamatan anak ketika membonceng motosikal

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
UTAMAKAN KESELAMATAN…Jadilah ibu bapa bertanggungjawab dengan memastikan anak-anak sentiasa memakai topi keledar yang dipasang dengan kemas setiap kali menaiki motosikal. Foto JPJ Malaysia

KUCHING: Keselamatan anak-anak perlu menjadi keutamaan dalam setiap perjalanan, namun masih terdapat ibu bapa yang membonceng anak ke sekolah tanpa memastikan mereka memakai topi keledar.

Menurut kenyataan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, tindakan tersebut mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan, walaupun perjalanan hanya melibatkan jarak yang dekat.

Kenyataan itu memaklumkan setiap kanak-kanak yang membonceng motosikal perlu memakai topi keledar yang sesuai, dipasang dengan kemas serta memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Selain itu, pemakaian topi keledar perlu dijadikan amalan wajib setiap kali menunggang atau membonceng motosikal sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan di jalan raya.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada perjalanan yang terlalu dekat untuk mengabaikan aspek keselamatan dan ibu bapa digesa memastikan anak-anak sentiasa dilindungi dengan memakai topi keledar setiap kali menaiki motosikal.