LONDON: Diogo Jota menyelamatkan Liverpool apabila pasukan yang mendahului Liga Perdana (EPL) itu bangkit selepas kad merah yang diterima oleh Andy Robertson untuk meraih keputusan seri 2-2 dengan Fulham, manakala peluang Arsenal mencabar gelaran liga tercalar selepas seri tanpa jaringan dengan Everton awal pagi tadi.
Dengan hanya empat minit berbaki di Anfield, pasukan Arne Slot berada dalam bahaya untuk kalah buat kali kedua dalam 15 perlawanan liga utama musim ini.
Namun, Jota berjaya menjaringkan gol penyamaan yang berharga untuk Liverpool meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan kepada 19 perlawanan sejak kekalahan kepada Nottingham Forest pada bulan September.
Dengan perlawanan Derby Merseyside di Everton ditangguhkan minggu lalu akibat cuaca buruk, Liverpool kini mengharungi dua perlawanan liga tanpa kemenangan selepas seri 3-3 dengan Newcastle.
The Reds mendahului lima mata di depan Chelsea di tangga kedua dan boleh merapatkan jurang dengan kemenangan menentang Brentford di Stamford Bridge awal pagi esok.
“Saya tidak fikir saya boleh meminta lebih daripada pemain saya, terutamanya selepas turun kepada 10 pemain.
“Ia satu permainan yang penuh emosi. Ia bagus untuk melihat prestasi kami selepas banyak halangan,” kata Slot.
Liverpool dikejutkan pada minit ke-11 apabila pemain tengah Fulham, Andreas Pereira menerima hantaran lintang Antonee Robinson dengan sepakan voli melencong ke arah Robertson.
The Reds mengalami satu lagi tamparan apabila bek kiri Scotland, Robertson dilayangkan kad merah pada minit ke-17 kerana mengasari Harry Wilson.
Namun, pasukan Slot yang dikenali dengan kebangkitan daripada ketinggalan musim ini menyamakan kedudukan menerusi Cody Gakpo pada minit ke-47 dengan satu tandukan hasil hantaran silang Mohamed Salah.
Penyerang Fulham, Rodrigo Muniz, melakukan rembatan apabila dia menyudahkan hantaran silang Robinson dengan menolak bola melepasi garisan gol pada minit ke-76.
Keadaan semakin dramatik apabila Jota menyamakan kedudukan pada minit ke-86 dengan satu penyudah tenang melepasi Bernd Leno dari pinggir kotak penalti. – AFP