Bagi yang sukakan aktiviti berkelah hujung minggu di kawasan luar bandar, Air Terjun Satow yang terletak di Kampung Bobak, Bau, mungkin salah satu pilihan terbaik.
Pemandangan indah alam semula jadi di sini pasti menambat hati, justeru menjadikan ia lokasi sesuai untuk bersantai jauh dari hiruk-pikuk bandar.
Duduk berkelah di tengah hutan sambil mendengar kicauan burung dan deruan lembut air terjun mungkin antara kenangan paling indah untuk dibawa pulang dan disimpan dalam lipatan memori.
Inilah yang dijanjikan oleh alam semula jadi di kawasan air terjun enam tingkat serta unik ini.
Cuma satu yang mungkin tidak disukai – lintah. Tiada siapa yang rela darah dihisap oleh makhluk kecil, lembut dan lembap ini. Namun jangan biarkan makhluk ini menjadi penghalang kita untuk menikmati panorama indah di Air Terjun Satow.
Maka bersedialah dengan stokin paras tinggi atau seluar panjang untuk menutupi bahagian kaki dan bawalah penawar untuk lintah seperti tembakau, garam dan sebagainya.
Untuk ke sini tidak sukar. Dari Kuching, jaraknya hanya kira-kira 45 minit perjalanan dengan kenderaan. Sampai sahaja di sana, hanya perlu berjalan kaki beberapa minit kaki ke lokasi air terjun tingkat pertama.
Tidak perlu bimbang untuk meninggalkan kenderaan kerana memang ada kemudahan meletak kenderaan disediakan di sini.
Disebabkan air terjun ini bertingkat-tingkat, jadi ssudah pasti menjadi pengalaman mengujakan bagi yang berjaya sampai ke bahagian paling atas. Setiap tingkat pula seperti disudah dipahat sebagai tempat berehat dan mengumpul tenaga sebelum meneruskan usaha untuk duduk di tingkat seterusnya.
Duduklah di bawah jatuhan air ini untuk merasakan nikmatnya urutan air bagi melegakan ketegangan kepala, bahu dan badan. Ingat, tidak semua orang dapat peluang menikmati pengalaman berharga ini.
Namun bagi yang gayat dan kurang lasak, memadailah untuk mandi manda dan bersantai di tingkat paling bawah air terjun ini. Kesejukan airnya tetap saya, cuma mungkin keterujaan itu yang berbeza.
Bagi yang gemar merakam gambar alam semulajadi, ada 1001 subjek yang dapat diabadikan dengan lensa kamera di sini. Malah merakam pemandangan air terjun ini sendiri sudah mencabar kerana pemandangan paling indah adalah dari tingkat paling atas dan ia memerlukan tenaga dan usaha untuk sampai ke sama.
Untuk berehat pula, ada disediakan pondok rehat di sekitar kawasan air terjun. Kawasan ini sesuai untuk makan-makan atau membuat pesta BBQ.
Makanya, jika anda sedang mencari lokasi untuk lari dari kesibukan kerja dan keriuhan bandar, bertandanglah ke sini dan bermesralah dengan alam semula jadi di sini.
Oleh Haini Darani