SLOGAN ‘Membaca Jambatan Ilmu’ sering kali kita gunakan untuk menunjukkan betapa pentingnya amalan membaca dalam usaha kita meningkatkan ilmu pengetahuan.
Melalui pembacaan, kita akan mendapat pelbagai maklumat dan informasi yang menarik.
Pada 22 April lalu, Pustaka Miri tidak melepaskan peluang mengadakan Program Jom Baca Bersama 2021.
Seperti tahun lepas, program Jom Baca Bersama kali ini juga disiar melalui platform “YouTube” serta laman Facebook rasmi Pustaka bermula dari pukul 11 pagi hingga 11.10 pagi.
Jom Baca Bersama merupakan program yang dilakukan serentak di seluruh Malaysia bersempena dengan Hari Buku Sedunia.
Program ini bertujuan mendorong masyarakat membaca, dimulai dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan seharian.
Selain itu, masyarakat juga berpeluang berkongsi gambar dan video momen aktiviti membaca di rumah dengan memuat naik secara terus dan meletakkan #jombacaswk2021.
Seorang suri rumah, Liong Siao Mei, 39, berkata, dia tidak melepaskan mengajak tiga anak lelakinya, David Kong,12, Jackson Kong,10 dan Kelvin Kong,9, menyahut cabaran program jom membaca itu.
Katanya, inilah peluang untuk mengisi masa lapang anak-anaknya dengan aktiviti bermanfaat lebih-lebih lagi sekolah ditutup susulan penularan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.
“Program jom baca ini sebagai satu daripada medium dan inisiatif terbaik untuk terus memberi inspirasi kepada anak-anak akan kepentingan dan kebaikan membaca.
“Selain itu, dapat memperbaiki kemahiran menulis dan bertutur dengan baik,”ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING