JAGUH Muay Thai negara Johan ‘Jojo’ Ghazali, berjaya menumbangkan Josue Cruz di pusingan pertama pada aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat hari ini.
Seperti yang dijanjikan, bintang muda itu bangkit selepas kekalahan pertamanya pada Jun lalu dengan menumpaskan lawannya dari Mexico menerusi pukulan ‘knockout’.
Dalam pertarungan tersebut, Jojo yang kelihatan tenang, berjaya menjatuhkan Cruz beberapa kali menerusi tendangannya, namun lawannya itu berjaya bangkit semula.
Bagaimanapun pada saat akhir pusingan, tumbukkan padu tangan kiri Johan merebahkan Cruz, dan pengadil sekali gus mengisytiharkan Johan sebagai pemenang.
Kemenangan itu turut menyaksikan Johan meraih bonus sebanyak AS$50,000 (RM216,682).
Johan, 17, mula mencipta nama di mata dunia selepas kemenangannya ke atas juara Muay Thai Antarabangsa WBC Edgar Tabares dalam dalam hanya 35 saat pada penampilan sulungnya di Primetime US, ONE Championship.
Meskipun masih muda, Johan dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam sukan pertempuran tahun ini.
Malah, ada yang membandingkannya dengan Juara Dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon.
Gambar
Jaguh Muay Thai negara Johan ‘Jojo’ Ghazali, berjaya menumbangkan Josue Cruz di pusingan pertama pada aksi ONE 168 di Denver, Colorado, Amerika Syarikat. – Foto tangkap layar IG ONE