KUALA LUMPUR: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar tewas kepada petarung dari Lubnan, Ramadan Ondash menerusi keputusan berbelah bahagi ‘split decision’ pada aksi ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, hari ini.
Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo terpaksa akur dengan keputusan itu selepas mengharungi pertarungan sengit selama tiga pusingan.
Pada aksi berkenaan, Ramadan meningkatkan tekanan menerusi siri serangan padu pada pusingan kedua, namun Jojo mempamerkan ketahanan tinggi untuk bertahan sebelum mengheret pertarungan ke pusingan penentuan.
Memasuki pusingan ketiga, atlet berusia 19 tahun itu menggandakan asakan bagi memburu kemenangan, namun kegagalannya melakukan pukulan penamat knockout (KO) menyaksikan keputusan perlawanan ditentukan menerusi penghakiman juri.
Kekalahan itu merupakan yang kedua berturut-turut buat Jojo selepas tewas kepada wakil Jepun, Shimon Yoshinari, menerusi keputusan sebulat suara pada ONE Samurai pada April lepas. – Bernama




