
SARIKEI: Bantuan segera berupa set makanan kering, set kelengkapan tidur, kit kebersihan dan makanan sedia dimakan telah disalurkan kepada mangsa kebakaran di Sungai Minah yang kehilangan tempat tinggal, semalam.
Jurucakap Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sarikei berkata, bantuan tersebut disampaikan oleh wakil JKM Sarikei, Julia Nuai Gawing, sejurus selepas pihak JKM menerima laporan insiden tersebut.
“Kebakaran yang berlaku sekitar 12.30 tengah malam itu mengakibatkan sebuah rumah dua tingkat binaan papan separa konkrit musnah 100 peratus, sekali gus meragut nyawa seorang lelaki warga emas berumur 97 tahun yang tidur di tingkat bawah.
“Empat lagi ahli keluarga mangsa berjaya menyelamatkan diri melalui tingkap rumah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



MUSNAH…..Kebakaran memusnahkan 100 peratus rumah mangsa. Foto JKM Sarikei
Tambahnya, punca kebakaran masih disiasat oleh pihak polis dan bomba.
“Tiada pusat pemindahan sementara dibuka kerana kesemua mangsa kini menumpang sementara di rumah keluarga di Jalan Merudu.
“Terima kasih kepada semua pegawai dan agensi terlibat.
“Bersama kita mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan kekuatan dalam menempuh masa sukar ini,” katanya.
Oleh Earl Anek