
SIMANGGANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Harmoni meneruskan tradisi memasak bubur pedas secara gotong-royong untuk diedarkan kepada penduduk di taman perumahan itu sempena Ramadan tahun ini.
Ketua Kaum Taman Harmoni, Ahmad Alwi berkata pada tahun ini sebanyak 300 bungkus bubur pedas telah diagihkan kepada penduduk yang beragama Islam di Taman Harmoni sebagai juadah berbuka puasa mereka.
“Juadah berbuka puasa seperti bubur pedas adalah yang ditunggu-tunggu masyarakat di Taman Harmoni terutamanya bergama Islam yang menyambut bulan Ramadan.
“Semoga dengan usaha kita bersedekah pada bulan mulia ini akan mendapat berkat dan keredaan daripada Allah SWT, selain menjadi platform yang bermakna dalam usaha kita untuk melibatkan banyak penyertaan daripada lapisan masyarakat,” katanya.

Ahmad Alwi berharap usaha seperti ini dapat diteruskan lagi pada bulan Ramadan tahun mendatang sebagai salah satu usaha untuk berkongsi rezeki kepada penduduk di bulan Ramadan.
Menariknya beliau menjelaskan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli JKKK Taman Harmoni ketika bergotong-royong menyediakan bahan-bahan seperti rempah khas, pelbagai jenis sayur-sayuran menjadi elemen utama hidangan ini dan semua ini menggambarkan semangat kerjasama dan perpaduan yang sangat penting dalam masyarakat kita.
“Semangat gotong-royong seperti inilah yang kita mahu suburkan dalam masyarakat. Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya ahli-ahli JKKK Taman Harmoni yang turun padang.
“Semoga usaha murni ini terus memperkukuh keharmonian dalam taman perumahan ini,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Harmoni, Hajimalie Morshidi.
Oleh Adi Saparman