
MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya tumpaskan aktiviti sindiket penyeludupan dadah berbahaya jenis ganja yang bernilai hampir RM2.578 juta di sini pada 13 Mei lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata, pada 13 Mei 2025, sekitar 9.30 pagi, bertindak atas maklumat yang disalurkan oleh Unit Kargo Udara, Cawangan Perkastaman Miri, sepasukan pegawai dari Unit Narkotik JKDM Miri telah menjalankan pemeriksaan ke atas lima kotak kiriman yang tidak dituntut di sebuah premis syarikat kurier tempatan yang beralamat di Jalan Pos, Miri, Sarawak.
Katanya, hasil pemeriksaan telah menemui 98 bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi dadah jenis ganja dengan anggaran berat kasar 26,313 kilogram dan dianggarkan bernilai hampir RM2.578 juta.
“Ganja adalah dadah berbahaya yang disenaraikan di bawah Bahagian 1, Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kes ini masih dalam siasatan,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Auditorium Warisan Budi, Jalan Persekutuan, di sini, hari ini.
Tambahnya, modus operasi penyeludup dadah berbahaya menggunakan perkhidmatan kurier dari Semenanjung Malaysia dengan membuat pengikraran sebagai barangan pakaian bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
“Dan, sekiranya hukuman diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, pesalah hendaklah juga disebat tidak kurang dari 15 sebatan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah lanya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebast tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.
Oleh Adum Liu