
SARATOK: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok hari ini telah menerima satu laporan berkaitan Orang Banduan Berlesen (OBB) yang sedang menjalani Perintah Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dilaporkan telah menghilangkan diri sejak 8 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok, Deputi Superintenden Polis (DSP) Mathew Maggie berkata banduan berkenaan telah menghilangkan diri daripada jagaan sah di bawah seliaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Kuching.
“IPD Saratok hari ini telah menerima satu laporan polis berkaitan kejadian itu, membabitkan individu dikenali sebagai Mohamad Hamizul Mohd Kiprawi, 30, yang berdaftar di Penjara Pusat Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Mathew berkata OBB tersebut telah mula menjalani PBSL bermula 26 Mei lalu hingga 15 Julai tahun ini yang ditempatkan di alamat No. 3/451, Jalan Haji Puteh Ellias, Saratok.
“OBB tersebut telah melanggar syarat-syarat PBSL dibawah Seksyen 43(1) Akta Penjara 1995 (Akta 537) iaitu tidak berada di kediaman dan tidak menetap di kediaman yang ditetapkan,” katanya.
Pihak polis tambah Mathew lagi mengalu-alukan sebarang maklumat orang awam atau mana-mana individu boleh menghubungi Ketua Polis Balai Saratok, Sarjan Mejar Nara Medan di talian 019-8579113.
“Pihak IPD Saratok mengucapkan terima kasih kerana memberi komitmen yang positif terhadap pasukan PDRM,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman