
BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras yang disyaki tidak berkastam serta dadah jenis ganja bernilai keseluruhan RM7.39 juta menerusi lapan kes berasingan yang dikesan di sekitar Bintulu antara April dan Mei lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata, rampasan itu melibatkan 7.21 juta batang rokok, 8,109.72 liter minuman keras, 4.322 kilogram ganja serta dua kenderaan yang disita.
Menurut beliau, nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM1.91 juta manakala duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM5.47 juta.
Katanya, empat kes pertama melibatkan rokok dan minuman keras tidak berkastam dengan jumlah rampasan bernilai RM7.17 juta termasuk duti dan cukai.
“Kes yang terbesar dikesan pada 19 Mei lalu apabila sepasukan pegawai kastam menyerbu sebuah gudang kosong di Jalan Bintulu-Miri hasil maklumat yang diterima.
“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut menemukan 5,422,000 batang rokok dan 2,788.80 liter minuman keras yang disyaki merupakan barang larangan.


“Kesemua barang tersebut termasuk dua kenderaan telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di JKDM Cawangan Penguatkuasaan Kampung Jepak di sini, hari ini.
Norizan berkata, siasatan mendapati sindiket menjadikan rumah dan gudang kosong sebagai tempat penyimpanan barang larangan sebelum diedarkan ke kawasan sekitar.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JKDM Sarawak turut merampas 4.322 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM129,660 menerusi empat kes berasingan yang dikesan antara April dan Mei lalu.
Menurutnya, dua daripada kes berkenaan membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah melalui perkhidmatan kurier.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket menggunakan perkhidmatan kurier dengan mengisytiharkan bungkusan sebagai barang dagangan serta menggunakan alamat penerima yang tidak wujud atau tidak lengkap bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Katanya, kes melibatkan rokok dan minuman keras disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, pesalah bagi kes kastam boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 dan tidak melebihi 20 kali nilai barangan atau RM500,000, atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kes dadah pula, pesalah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.
Oleh Carolyne Utih