KUCHING: Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak menahan 16 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen menerusi Ops Selera, Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kuching dan Kota Samarahan sejak semalam.
Menurut kenyataan media JIM, operasi penguatkuasaan yang berlangsung dari 8.00 malam hingga 1.00 pagi itu dilaksanakan hasil aduan awam serta risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa JIM Kuching bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.
Operasi bersepadu tersebut melibatkan pemeriksaan di 10 lokasi yang dikenal pasti, termasuk premis yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian, premis makanan dan bilik sewa di sekitar Jalan Semarak Gita, Bandar Baru Semariang, Matang serta Kota Samarahan.
Sepanjang operasi, seramai 51 Orang Yang Diperiksa (OYDP) telah disaring bagi memastikan pematuhan terhadap Akta Imigresen 1959/63.
Hasil pemeriksaan mendapati seramai 16 warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), termasuk kesalahan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua individu yang ditahan dibawa ke pejabat JIM untuk tujuan dokumentasi, siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan di seluruh negeri.
Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan semua warga asing yang berada di negara ini mematuhi syarat dan peraturan imigresen.
Dalam pada itu, orang ramai diseru agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran pendatang asing tanpa izin atau sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
JIM berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu usaha penguatkuasaan sekali gus memastikan keselamatan, kesejahteraan dan ketenteraman awam di negeri ini terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman




