Jerebu: IPU Samarahan, Serian 183, Tebedu 175

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU… Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Samarahan dan Serian masing-masing mencatatkan 183, manakala Tebedu merekodkan 175 setakat jam 8.00 pagi, hari ini. Sumber Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB). Foto janaan AI.

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Samarahan dan Serian masing-masing merekodkan bacaan 183, antara yang tertinggi di Sarawak setakat 8.00 pagi ini.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), sebanyak sembilan kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.

Selain Samarahan dan Serian, kawasan berkenaan ialah Kuching (177), Tebedu (175), Sri Aman (159), Sarikei (158), Sibu (152), Mukah (152) dan Lundu (111).

SUASANA jerebu sekitar bandar raya Kuching.

Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memburukkan keadaan kesihatan golongan berisiko tinggi, khususnya mereka yang mempunyai komplikasi jantung dan paru-paru.

Sementara itu, lapan kawasan lain merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu Miri (98), Bintulu (93), Lubok Antu (91), Samalaju (84), ILP Miri (76), Bario (75), Limbang (70), Lawas (69) dan Kapit (67).

Bacaan IPU dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah sewajarnya susulan keadaan kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan.

Keadaan jerebu dijangka terus memerlukan perhatian berikutan beberapa kawasan mencatatkan bacaan menghampiri paras 200, khususnya Samarahan dan Serian.

Oleh Shikin Mahmud