
SAITAMA: Jepun menjadi pasukan bukan tuan rumah pertama layak ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Bahrain 2-0 di laman sendiri menerusi jaringan Daichi Kamada dan Takefusa Kubo pada Khamis, sekali gus memastikan penampilan kelapan berturut-turut Jepun dalam kejohanan itu.
Kyodo News melaporkan bahawa pasukan Samurai Biru itu memperoleh kelayakan terpantas mereka, dengan baki tiga perlawanan, selepas enam kemenangan dan satu seri dalam aksi Kumpulan C.
Ini memastikan mereka akan menamatkan saingan dalam dua tempat teratas dan meraih tiket automatik ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Skuad kendalian Hajime Moriyasu sebelum ini melalui kempen sukar dalam perjalanan ke Piala Dunia 2022 selepas tewas dalam dua daripada tiga perlawanan pertama di pusingan akhir kelayakan Asia.
Namun, kali ini ceritanya berbeza apabila mereka melangkah ke pusingan akhir dengan kelebihan perbezaan jaringan 22 gol, hanya tercicir mata dalam keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang Australia pada Oktober. – Bernama