
SIBU: Sebuah jengkaut musnah sepenuhnya dalam kebakaran di persimpangan lampu isyarat Ulu Sungai Merah di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 2.44 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di tempat kejadian 2.50 petang dan mendapati sebuah jengkaut yang berada berdekatan kawasan taman perumahan terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu nozel serta sumber air daripada pam jentera bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal 3.00 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya 3.20 petang selepas pasukan memastikan keadaan benar-benar selamat.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Oleh Tarani Lanting