
TERDAPAT sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, katanya: “Nabi SAW apabila masuknya sepuluh hari terakhir Ramadan. Baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, Baginda menghidupkan malam harinya dan Baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).”
Imam an-Nawawi berkata: “Di dalam hadis di atas, dijelaskan anjuran untuk memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir di Ramadan dan dianjurkan menghidupkan malam-malamnya dengan pelbagai bentuk ibadah.”
Setiap detik dalam bulan ini merupakan peluang keemasan untuk umat Islam meningkatkan amal ibadah serta meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.
Akan tetapi, jendela terakhir Ramadan, iaitu sepuluh malam terakhir, mempunyai keistimewaan yang lebih besar kerana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatulqadar.
Di dalam tempoh ini umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah, bertaubat dan memohon keampunan dengan penuh keikhlasan.
Bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi manusia serta penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang batil).”
Ramadan merupakan hadiah dari Allah SWT yang menjadi asbab pengampunan-Nya atas ketelanjuran dosa yang telah kita lakukan.
Maka dengan itu, kita wajib berusaha untuk mendapatkan hadiah yang ditawarkan oleh Allah SWT dengan bertaubat, meningkatkan amal, melakukan pelbagai kebajikan dan memperbanyak sedekah.
Daripada Abu Hurairah RA beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amat rugilah orang yang memasuki Ramadan tetapi akhirnya (Ramadan berlalu), sedangkan dia tidak mendapat pengampunan Allah SWT.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Keistimewaan 10 Malam Terakhir Ramadan
Salah satu keistimewaan terbesar dalam sepuluh malam terakhir ialah lailatulqadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Malam ini merupakan malam yang penuh dengan rahmat dan keberkatan, yang mana Allah SWT menurunkan ketetapan bagi kehidupan manusia dan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang beribdah dengan penuh keikhlasan.
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam lailatulqadar. Dan tahukah kamu apakah lailatulqadar itu? Lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”
Imam al-Qurtubi berkata: “Malam lailatulqadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan.”
Ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam lailatulqadar.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyebut tentang kelebihan lailatulqadar: “Carilah lailatulqadar pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jelas menunjukkan bahawa malam ini amatlah istimewa kerana ganjaran amal ibadah yang dilakukan pada malam ini lebih baik dari seribu bulan.
Lantaran itu, umat Islam perlu berusaha mencarinya dengan memperbanyakkan solat malam, membaca al-Quran, berzikir dan memperbanyakkan doa.
Terutama doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: “Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau Maha Pengampun, Engkau suka mengampuni, maka ampunilah aku). (Hadis Riwayat Tirmizi)
Jendela terakhir Ramadan adalah peluang keemasan yang tidak seharusnya disia-siakan oleh setiap Muslim.
Mudah-mudahan kita semua diberikan kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang dalam keadaan yang lebih baik dan penuh keimanan.

Keutamaan Said bin Zaid
SEBAGAIMANA keutamaan yang dimiliki oleh sahabat-sahabat lain yang dijamin dengan syurga, Said bin Zaid juga turut memiliki keutamaan di sisi Allah SWT dan Rasul.
Keutamaan ini tidak datang dengan sendirinya melainkan dengan usaha dan pengorbanan yang dilakukan oleh beliau.
Di antara keutamaan Said bin Zaid ialah beliau tergolong dalam golongan yang dikenali dengan nama “As Sabiqun Al Awwalun” iaitu orang yang terawal memeluk Islam.
Beliau juga tergolong dalam kalangan ahli Badar yang mana Allah SWT telah mengampuni dosa mereka. Selain itu, beliau telah mendapat keredaan Allah SWT melalui kehadirannya di dalam peristiwa Baiatur Ridhwan.
Melalui peristiwa ini juga, beliau telah mendapat jaminan ke syurga.
Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang terdahulu (memeluk Islam) dalam kalangan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah SWT reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar”. (At Taubah: 100)
Said bin Zaid juga telah mengikuti peristiwa Baiatur Ridhwan dan Perjanjian Hudaibiyah. Orang-orang yang menyertai peristiwa Baiatur Ridhwan ini telah mendapat keredaan Allah SWT.
Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Rasulullah SAW juga bersabda, “Tidak akan masuk neraka seorang pun yang pernah berbaiat di bawah pokok (Ar Ridhwan).” (Riwayat At Tirmidzi)
Said bin Zaid juga telah menyertai perang Tabuk. Perang Tabuk ini digelar oleh Allah SWT sebagai masa-masa yang sulit.
Orang yang menyertai peperangan ini telah mendapat pujian khusus dari Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Allah DET reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya”. (al Fath: 18)
Oleh Hanzalah Azman