MATU: Jenazah anggota komando yang lemas selepas dihanyutkan arus deras kepala air di Sungai Merah di Permatang, sempadan Malaysia–Thailand Sabtu lalu selamat dikebumikan di Kampung Jemoreng, di sini malam tadi.
Jurucakap Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia berkata, jenazah Lans Koperal Mohd Afandi Jahwin 20-an diterbangkan dengan helikopter EC725 AP Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Kampung Jemoreng, Matu selepas tiba di Lapangan Terbang Sibu, petang semalam.
Sebelum itu, jenazah mangsa diterbangkan dengan pesawat TUDM dari Ipoh, Perak.
Turut memberi penghormatan terakhir ketika jenazah tiba di Lapangan Terbang Sibu, Panglima 9 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun serta pegawai kanan formasi itu.
Upacara pengebumian mangsa pada jam 8.30 malam dilaksanakan dengan istiadat ketenteraan turut dihadiri pegawai kanan dari Markas 21 Grup Gerak Khas (GGK) yang berpangkalan di Kem Sungai Udang, Melaka.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, Sabtu lalu, dua mangsa bersama tujuh anggota lain dipercayai dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024.
Tujuh anggota ditemukan selamat pada 12.30 tengah hari pada hari kejadian, namun dua lagi dilaporkan hilang iaitu Mohd Afandi dan seorang anggota dari 22 Komando yang berpangkalan di Kem Iskandar, Mersing Johor iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tarmizi.
Jenazah Mohd Afandi ditemukan di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup, kira-kira jam 6 petang, Ahad lalu.
Jenazah Mohd Afandi kemudian dibawa keluar dari lokasi operasi dengan pesawat udara pada Isnin dan dihantar ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood mengesahkan kejadian itu setelah mengenai insiden berkenaan.