
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju melaksanakan Hari Bekerja Hibrid (HBH) sebagai norma baharu dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini, demikian menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pelaksanaan HBH membolehkan penjawat awam bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.
JPA berkata, pelaksanaan itu menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.
“Penjawat awam boleh bekerja dua hari di rumah atau lokasi alternatif yang diluluskan oleh Ketua Jabatan dan tiga hari di pejabat tertakluk kepada keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi serta syarat yang ditetapkan.
“HBH ialah satu inisiatif baharu kerajaan mengenai pengaturan kerja yang lebih fleksibel untuk penjawat awam tanpa mengurangkan waktu bekerja,” menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan pelaksanaan HBH tidak akan menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kerajaan kepada rakyat. – Bernama