
SERIAN: Jelsi dan Wan Syaedi masing-masing dinobatkan sebagai juara Miss dan Mr Aura of Borneo 2026 pada malam kemuncak pertandingan yang berlangsung di Borneo Empurau Farm & Resort, di sini, semalam.
Dalam kategori Miss Aura of Borneo 2026, Jelsi berjaya meraih gelaran juara, diikuti Dessy sebagai naib juara, manakala Scarlet menduduki tempat ketiga.
Bagi kategori Mr Aura of Borneo 2026 pula, Wan Syaedi muncul juara, disusuli Joel sebagai naib juara dan Nelson di tempat ketiga.

Pertandingan itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang yang menampilkan keyakinan, keanggunan serta pengetahuan mengenai warisan budaya Borneo, di samping memperlihatkan potensi mereka sebagai ikon belia.
Para finalis dinilai menerusi beberapa segmen, termasuk memperagakan pakaian tradisional, pakaian rasmi serta sesi soal jawab yang menguji kebijaksanaan, keyakinan dan karisma mereka di atas pentas.
Malam kemuncak pertandingan turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli keluarga, rakan-rakan dan penyokong yang memberikan sorakan serta sokongan kepada para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.

Penganjuran Miss dan Mr Aura of Borneo 2026 bukan sekadar pertandingan ratu cantik dan jejaka, malah menjadi platform mengetengahkan keunikan budaya, adat resam serta identiti masyarakat Borneo kepada khalayak yang lebih luas.
Program itu juga diharap dapat melahirkan ikon belia yang berperanan sebagai duta dalam mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan perpaduan di Borneo.