Jelajah Wira MADANI perkukuh kebajikan warga, pesara dan veteran PDRM

Facebook
WhatsApp
DATO’ Noor Hisam Nordin ketika berucap pada Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Sarawak di Wisma Sabati Jalan Bako, Petra Jaya, Kuching malam ini.

PETRA JAYA: Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Sarawak menjadi wadah untuk memperkukuh aspek kebajikan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk balu, anak yatim, anak-anak istimewa, golongan asnaf serta pesara polis.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Dato’ Noor Hisam Nordin menegaskan, kebajikan sentiasa menjadi antara keutamaan pasukan, selain memastikan warga PDRM dan keluarga besar pasukan yang memerlukan tidak dilupakan.

Menurutnya, bantuan yang disampaikan menerusi program berkenaan merupakan tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga pasukan serta keluarga mereka.

BEKAS Sub-Inspektor, Mohamad Salim dari Simanggang antara penerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam pasukan.

“Sumbangan ini mungkin tidak mampu membalas sepenuhnya segala jasa dan pengorbanan mereka, namun ia membawa mesej bahawa PDRM sentiasa mengambil berat dan tidak pernah melupakan keluarga serta para veterannya.

“Sesungguhnya keamanan yang kita nikmati hari ini turut dibina atas darah, keringat dan pengorbanan generasi terdahulu. Jasa mereka akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Sarawak, malam ini.

BEKAS Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata antara penerima sumbangan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat dalam pasukan.

Beliau berkata, program berkenaan turut menjadi medium bagi mendekati warga pasukan, memahami keperluan mereka serta memperkukuh moral dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga PDRM.

Katanya, penglibatan pesara dan veteran PDRM serta masyarakat dalam program berkenaan turut membantu memperkukuh semangat esprit de corps (setia kawan) dalam keluarga besar pasukan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan bukan hanya menjadi tanggungjawab polis, sebaliknya memerlukan penglibatan dan kerjasama seluruh masyarakat.

ANTARA penerima sumbangan bagi anak-anak yatim yang kehilangan ibu atau bapa dalam kalangan anggota polis sempena Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Sarawak di Wisma Sabati Jalan Bako, Petra Jaya, Kuching malam ini.

Sehubungan itu, masyarakat setempat digesa memanfaatkan pelbagai pengisian sepanjang program termasuk kaunter perkhidmatan, pameran aset dan kemudahan saringan kesihatan bagi mengenali PDRM dengan lebih dekat.

Menurutnya, interaksi sedemikian penting dalam membina keyakinan dan kepercayaan lebih kukuh antara polis dengan masyarakat.

“Semangat ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ perlu terus diterjemahkan melalui kerjasama kepolisan komuniti, khususnya dalam usaha mencegah jenayah, menangani permasalahan dadah dan membendung isu-isu yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau turut menekankan keistimewaan Sarawak yang mempunyai kepelbagaian etnik, budaya dan agama sebagai kekuatan dalam memelihara keharmonian serta kestabilan keselamatan negara.

PENGARAH Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Dato’ Noor Hisam Nordin menerima cenderamata daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah sempena Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Kontinjen Sarawak.

Katanya, keharmonian masyarakat Sarawak yang berbilang etnik perlu terus dipelihara melalui semangat toleransi, perpaduan dan integrasi nasional.

Turut hadir, bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Mohd Jamil Johari, Pengerusi PERKEP Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Bukit Aman Datin Noormawati Abdul Latip, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, serta isteri, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak Datin Nitce Isa Medina Machmudi Isa, dan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mancha Ata.

Oleh Afiq Sallehi

Jurutera pemacu pembangunan mampan Sarawak

KUCHING: Jurutera memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan Sarawak yang mampan, berdaya tahan dan inklusif, selaras dengan keperluan ekonomi serta