KOTA SAMARAHAN: Sinergi kukuh antara agensi penyelamat, rakan korporat, institusi pendidikan, dan media menjadi tunjang utama dalam memastikan agenda keselamatan komuniti di Sarawak terus terpelihara.
Menyedari hakikat itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak mengambil inisiatif khas bagi menzahirkan penghargaan buat ‘wira di sebalik tabir’ ini dalam satu majlis penuh bermakna hari ini.
Bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samarahan, penghargaan tersebut telah disampaikan bersempena dengan Perhimpunan Bulanan JBPM Sarawak. Majlis gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran.
Turut hadir memberi sokongan ialah Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, serta Ketua Zon 2 JBPM Sarawak, Gawai John.

Perhimpunan bulanan ini bukan sekadar perjumpaan rutin, malah ia berfungsi sebagai platform utama bagi memperkukuh penyampaian amanat kepimpinan tertinggi jabatan, meningkatkan semangat kerja berpasukan (teamwork) yang tinggi dalam kalangan anggota serta menghargai komitmen luar biasa warga JBPM Sarawak yang sentiasa bersiap siaga demi menabur bakti kepada masyarakat.
Antara sorotan utama majlis adalah penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik yang banyak menyokong misi jabatan.
Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) serta beberapa syarikat korporat telah menerima pengiktirafan atas kerjasama erat dan sokongan padu mereka dalam menjayakan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama JBPM Sarawak.
Selain sektor korporat, golongan belia dan komuniti setempat turut diraikan. Sijil penghargaan telah dianugerahkan kepada Rakan Teman Pili Bomba; Kor Siswa Bomba Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Briged Siswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Sumbangan mereka dalam menyokong program kesedaran keselamatan kebakaran serta aktiviti kemasyarakatan terbukti impak besarnya dalam melahirkan komuniti yang peka terhadap risiko bencana.
Sektor media massa tidak dilupakan. Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada wakil-wakil media yang diraikan sebagai rakan penyampai maklumat yang efektif.
Pengiktirafan ini diberikan atas peranan penting media dalam membantu menyebarluaskan maklumat sahih, hebahan keselamatan kebakaran, serta memberikan liputan meluas terhadap aktiviti dan operasi JBPM Sarawak secara konsisten kepada seluruh lapisan masyarakat.
Oleh Adi Safarman





