CHERYL LAW
KUCHING: Sebuah jawatankuasa kabinet ditubuhkan untuk mengenal pasti isu dan mencari jalan bagaimana dapat mempertingkatkan pematuhan pada sekatan perjalanan dan mengekang penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kabinet telah menubuhkan jawatankuasa kabinet yang mana beliau merupakan salah seorang ahli yang bermesyuarat setiap hari dalam Jawatankuasa Pengurusan Hal-Ehwal Covid-19 ini.
“Kita bermesyuarat setiap hari untuk mengenal pasti isu dan mencari jalan bagaimana kita dapat mempertingkatkan pematuhan pada sekatan perjalanan ini dan juga untuk kita mengekang sebenarnya daripada menular ataupun merebaknya Covid-19 ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berharap, rakyat di Petra Jaya dan di Sarawak khususnya menjaga kebersihan masing-masing.
“Ikut segala garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Cuci tangan dan mandi selalu. Setiap kali kalau kita keluar membeli barang makan, barang keperluan dan sebagainya. Balik rumah mandi dan cuci tangan barulah kita berhubung dengan keluarga kita.
“Sebaik-baiknya kurangkan pergerakan di luar supaya kita dapat bersama mengekang merebaknya masalah Covid-19 ini,” katanya.
Tambah beliau, pastikan kita sentiasa mengikuti segala makluman daripada Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk mendapat berita sebenarnya.
“Jangan kita percaya dengan apa yang datang dan keluar daripada media sosial terutamanya kebanyakkannya adalah tidak benar dan tidak betul.
“Jadi, kalau kita ragu-ragu, rujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya kita tidak menyebabkan berlakunya panik dalam kalangan rakyat kita,” kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis dan tentera mula bekerjasama untuk memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana masih ada yang ingkar dengan pematuhan tersebut.
“Sebenarnya kita kena duduk rumah. Keluar apabila perlu dan jika terdapat kerja-kerja penting yang diluluskan.
“Sebolehnya duduk di rumah. Masa inilah peluang kita. Cuci rumah, bersenam dan jaga kebersihan. Bersihkan rumah kita dan rapatkan hubungan keluarga,” jelasnya.