LUKANISMAN Abang Sauni ROYSTON Valentine
KUCHING: Semua jawatan tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak ditandingi pada Perhimpunan Agung parti itu minggu depan setelah konsensus dicapai.
Sumber dalaman PBB memberitahu Utusan Sarawak, selain jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, jawatan Naib Presiden Kanan dan Naib Presiden, akan turut tidak ditandingi kali ini.
Katanya, konsensus itu dicapai pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini.
“Konsesus ini dicapai bagi mengelak perpecahan dalam parti bagi menjamin kestabilan dalam parti lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), ” katanya.
Kerusi Naib Presiden Kanan PBB kini disandang Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusuf (sayap Bumiputera) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebedu, Datuk Seri Michael Manyin Jawong (sayap Pesaka).
Bagaimanapun, belum pasti sama ada Manyin yang juga bekas Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, akan kekal atau mengundur diri.
Sumber berkata, andai Manyin mengundur diri, kemungkinan jawatan itu diisi oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom bagi sayap Pesaka.
Jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera kini disandang Datuk Julaihi Narawi; Dr Annuar Rapaie, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Naib Presiden sayap Pesaka pula ialah Stephen Rundi; Datuk Gerawat Gala dan Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Menurut sumber itu lagi, Adun Layar Datuk Gerald Rentap Jabu kemungkinan mengisi tempat Stephen Rundi sebagai Naib Presiden bagi sayap Pesaka.
Gerald terpaksa melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda PBB kerana melebihi had umur.
Berdasarkan persefahaman dalam PBB, wujud pembahagian jawatan bagi sayap Bumiputera dan Pesaka dalam parti.
Memandangkan Ketua Pergerakan Wanita disandang wakil Bumiputera iaitu Datuk Seri Fatimah Abdullah, maka Ketua Pemuda diberi untuk sayap Pesaka.
Difahamkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh kemungkinan diangkat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PBB bagi menganti Gerald Rentap.
Sumber berkata, kepemimpinan sayap Wanita dan Pemuda juga hampir mencapai konsensus bagi jawatan tertinggi bagi memastikan tiada pertandingan.
Dua nama disebut untuk satu jawatan Timbalan Ketua Pemuda iaitu Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Abang Sauni dan Adun Tellian Royston Valentine.
Bagaimanapun, menurut sumber itu lagi, saingan tetap dibuka untuk saingan bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi.
Sebelum ini, semua 82 ranting PBB mengemuka usul supaya jawatan Presiden yang disandang Abang Johari dan dua Timbalan Presiden, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (Bumiputera) dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, tidak dicabar.
Oleh KADIR DIKOH