Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Jauhi sifat mazmumah, dekati redha Allah SWT
  • RENCANA

Jauhi sifat mazmumah, dekati redha Allah SWT

Utusan Sarawak 7 hours ago
LEBIH 900 jemaah Malaysia yang baru tiba di Makkah bergerak ke Masjidil Haram bagi melakukan umrah wajib di sini, malam tadi. Terdahulu, kumpulan jemaah dari KT041, KT051, dan KT056 itu bergerak dari Abraj Al Jinadiria ke Masjidil Haram pada 11 malam waktu tempatan (4 pagi Malaysia) dan selesai sekitar dua jam kemudian. Foto BERNAMA

DALAM kehidupan seorang Muslim, pembentukan akhlak merupakan asas utama yang menentukan nilai diri di sisi Allah SWT. Islam bukan sekadar agama yang menuntut ibadah zahir seperti solat dan puasa, tetapi juga menekankan penyucian hati daripada sifat-sifat tercela yang dikenali sebagai mazmumah.

Sifat mazmumah merujuk kepada sifat buruk seperti sombong (takabbur), riak, hasad dengki, pemarah, bakhil dan terlalu cintakan dunia. Jika sifat-sifat ini dibiarkan berakar dalam diri, ia bukan sahaja merosakkan hubungan sesama manusia, bahkan menjauhkan seseorang daripada redha Ilahi.

Sebagaimana firman-Nya di dalam surah Luqman ayat 18 yang memberi maksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh.

Sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. Jelas bahawa ayat ini menunjukkan bahawa sifat sombong adalah antara sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT.

Orang yang sombong sering merasakan dirinya lebih tinggi daripada orang lain, lalu memandang rendah orang sekeliling. Sedangkan dalam Islam, ukuran kemuliaan seseorang hanyalah berdasarkan ketakwaan, bukan harta, pangkat atau rupa paras.

Dalam masa yang sama, sifat riak juga merupakan penyakit hati yang sangat berbahaya. Riak bermaksud melakukan sesuatu amalan dengan tujuan untuk dipuji oleh manusia, bukan kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang paling aku takuti ke atas kamu ialah syirik kecil. Para sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah SAW? “Baginda menjawab, “Riak.” (hadis riwayat Ahmad)

Walaupun amalan tersebut kelihatan baik, namun jika tidak ikhlas, ia tidak akan diterima oleh Allah SWT. Oleh itu, setiap Muslim perlu sentiasa menjaga niat dalam setiap perbuatan agar benar-benar mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Sifat hasad dengki juga termasuk dalam kategori mazmumah yang perlu dijauhi. Hasad dengki ialah perasaan tidak senang melihat kelebihan orang lain dan berharap nikmat tersebut hilang daripadanya. Allah SWT berfirman: “Atau mereka dengki kepada manusia kerana kurniaan yang Allah berikan kepadanya?” (surah an-Nisa ayat 54)

Perasaan ini boleh membawa kepada permusuhan dan perpecahan dalam masyarakat. Bahkan dalam sejarah, sifat dengki telah menyebabkan iblis enggan sujud kepada Nabi Adam AS, lalu dia menjadi makhluk yang dilaknat. Ini membuktikan bahawa sifat hasad dengki boleh membawa kepada kebinasaan jika tidak dikawal.

Sifat mazmumah memberi kesan yang besar dalam kehidupan. Dari sudut individu, ia menyebabkan hati menjadi gelap dan jiwa tidak tenang.

Orang yang dipenuhi sifat sombong dan dengki sering hidup dalam kegelisahan kerana sentiasa membandingkan diri dengan orang lain. Mereka juga sukar menerima nasihat dan tidak mahu mengakui kesalahan sendiri.

MEROSAKKAN HUBUNGAN SILATURAHIM 

Dalam kehidupan bermasyarakat, sifat mazmumah boleh merosakkan hubungan silaturahim. Sifat pemarah boleh mencetuskan pergaduhan, manakala hasad dengki pula boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan.

Akibatnya, masyarakat menjadi tidak harmoni dan hilang nilai kasih sayang yang dianjurkan dalam Islam.

Rasulullah SAW turut memberiamaran tentang bahaya sifat sombong dalam sabdanya: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat sebesar zarah kesombongan.” (hadis riwayat Muslim) 

Untuk menjauhi sifat mazmumah, seseorang perlu mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadah seperti solat, zikir dan membaca al-Quran dapat melembutkan hati serta membantu mengawal nafsu.

Apabila hati dekat dengan Allah SWT, seseorang akan lebih mudah meninggalkan sifat-sifat buruk.

Selain itu, muhasabah diri juga sangat penting. Dengan sentiasa menilai kelemahan diri, seseorang akan lebih sedar akan kesalahan yang dilakukan dan berusaha memperbaikinya.

Sikap merendah diri dan menerima teguran juga membantu dalam proses memperbaiki akhlak.

Pergaulan juga memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian. Berkawan dengan orang yang berakhlak baik akan mendorong seseorang untuk mencontohi sifat-sifat terpuji.

Sebaliknya, pergaulan yang buruk boleh mempengaruhi seseorang untuk melakukan perkara yang tidak baik.



Akhlak yang patut dicontohi

ALI bin Abi Talib merupakan antara contoh terbaik akhlak mulia yang patut diteladani oleh setiap Muslim.

Beliau ialah sepupu dan menantu kepada Rasulullah SAW serta antara orang terawal yang memeluk Islam ketika masih muda.

Keberanian, kebijaksanaan dan keikhlasan beliau menjadikannya antara sahabat yang sangat dikagumi.

Salah satu sifat paling menonjol dalam diri Ali ialah keberanian yang luar biasa. Dalam banyak peperangan seperti Badar, Uhud dan Khandaq, beliau berada di barisan hadapan mempertahankan Islam.

Namun keberanian beliau bukanlah untuk bermegah, sebaliknya kerana keimanan yang tinggi kepada Allah SWT. Walaupun berhadapan dengan musuh yang ramai, beliau tetap teguh dan tidak gentar.

Selain berani, Ali juga terkenal dengan sifat pemaaf dan berakhlak tinggi. Terdapat satu kisah yang sangat masyhur ketika beliau bertarung dengan seorang musuh.

Dalam pertempuran itu, Ali berjaya menjatuhkan lawannya dan hampir membunuhnya.

Namun secara tiba-tiba, musuh tersebut meludah ke wajahnya. Dalam keadaan itu, Ali segera melepaskan musuh tersebut dan tidak jadi membunuhnya.

Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, Ali menjawab bahawa pada awalnya beliau berperang kerana Allah SWT.

Tetapi apabila musuh itu meludah ke wajahnya, beliau bimbang jika tindakannya selepas itu didorong oleh kemarahan peribadi, bukan lagi kerana Allah.

Oleh itu, beliau memilih untuk menahan diri. Kisah ini menunjukkan betapa tinggi tahap keikhlasan dan kawalan diri beliau, serta betapa beliau menjauhi sifat mazmumah seperti marah dan dendam.

Di samping itu, Ali juga terkenal dengan kebijaksanaan ilmunya. Beliau sering menjadi rujukan para sahabat dalam pelbagai masalah hukum dan kehidupan.

Kata-kata hikmah beliau banyak memberi pengajaran, antaranya tentang kepentingan menjaga lidah, bersabar dan berlaku adil. Ilmu yang dimiliki beliau digunakan untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan, bukan untuk kepentingan diri.

Hanzalah Azman

Continue Reading

Previous: Da Nang Vietnam antara 9 destinasi terbaik Asia – Lonely Planet
Next: Kopi, khemah, kreativiti: Kafe Madden’s Coffee Lab jadi tarikan baharu di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.