Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Jaslinda ditemukan selamat oleh Orang Asli – Bomba
  • SEMASA

Jaslinda ditemukan selamat oleh Orang Asli – Bomba

Utusan Sarawak 17 hours ago
JASLINDA Saludin, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih pada 24 Mei lalu ditemukan selamat hari ini.

IPOH: Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, dekat Tapah sejak 24 Mei lepas berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri Bah Eng, kira-kira 3.00 petang.

“Selepas menjumpai mangsa, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sayani berkata mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.

“Setakat ini, orang hilang berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut sedang diuruskan pihak berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2.00 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin dalam kenyataan berasingan berkata Jaslinda yang ditemukan dalam keadaan selamat petang tadi dibawa ke sebuah kampung Orang Asli bagi diberi bantuan awal dan makanan.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan sedar di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh dekat Tapah sebelum dibawa ke rumah penemu untuk diberikan bantuan awal dan makanan.

“Pihak polis telah membuat pengesahan penemuan tersebut dan menguruskan tindakan lanjut termasuk pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada 24 Mei lepas ditamatkan secara rasmi setelah mangsa berjaya ditemukan dengan selamat.

“Pihak Polis Diraja Malaysia Kontinjen Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), sukarelawan, masyarakat Orang Asli dan orang awam yang telah memberikan kerjasama sepanjang operasi ini berlangsung,” katanya. – Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: RUU Warga Emas dibentang tahun ini, kerajaan negeri diberi ruang tambah baik cadangan
Next: Semangat kental, air sungai dipercayai bantu Jaslinda bertahan selama 14 hari – Malim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.