WARSAW: Cristiano Ronaldo menjaringkan gol untuk kali ketiga berturut-turut pada perlawanan Liga Negara-Negara apabila Portugal mengekalkan rekod sempurna mereka dengan kemenangan 3-1 ke atas Poland, awal pagi tadi.
Bernardo Silva dan Ronaldo meletakkan Portugal di depan 2-0 pada separuh masa pertama di Warsaw dalam pertembungan Kumpulan A1.
Piotr Zielinski merapatkan kedudukan untuk Poland minit ke-78 sebelum gol sendiri oleh Jan Bednarek minit ke-88 menamatkan harapan Poland untuk bangkit semula.
“Kami bekerja keras beberapa hari lalu, melakukan pelbagai persediaan untuk perlawanan ini dan kami dapat membuktikannya di atas padang.
“Saya sangat berpuas hati kerana kami mengawal perlawanan ini,” kata jurulatih Portugal, Roberto Martinez.
“Fokus dan matlamat utama kami adalah Piala Dunia. Saya gembira dengan sikap luar biasa barisan pemain dan mereka menunjukkan personaliti hebat pada perlawanan yang sukar.
“Kami tidak mahu dibolosi, tetapi prestasi keseluruhan sangat baik. Kami melihat pemain baharu membuat penampilan sulung dengan cemerlang,” katanya lagi.
Sementara itu Zielinski akur dengan kekalahan kepada Portugal selepas dia serta rakan sepasukan melakukan memberikan banyak peluang kepada lawan di separuh masa pertama.
“Kami bermain menentang salah satu pasukan terbaik dunia yang penuh dengan pemain hebat. Tetapi kami membiarkan mereka melakukan banyak percubaan terutamanya pada separuh masa pertama,” kata Zielinski.
Portugal akan bertemu Scotland di Glasgow, Rabu ini untuk mencari kemenangan keempat berturut-turut manakala Poland akan melayan kunjungan Croatia. – AFP