
FOXBOROUGH, Amerika Syarikat: Satu jaringan “scrappy” oleh John McGinn membantu Scotland menandakan kepulangan mereka ke Piala Dunia selepas 28 tahun dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Haiti pagi ini.
Kapten Aston Villa itu meledak jaringan menerusi percubaan yang terpesong sebelum minit ke-30 di Stadium Gillette, Boston, yang dipenuhi 64,000 penonton dengan majoriti penyokong Scotland.
Penyokong Scotland hadir dalam jumlah besar ke Amerika Syarikat bagi menyaksikan kempen Piala Dunia pertama negara itu sejak 1998, dan mereka meraikan kemenangan penting tersebut yang meletakkan Scotland di tangga teratas Kumpulan C.
Ia merupakan kemenangan pertama Scotland di Piala Dunia sejak menewaskan Sweden 2-1 di Itali pada 1990, serta kemenangan pertama di kejohanan utama sejak Euro 96.
Pasukan kendalian Steve Clarke itu kini memburu sejarah untuk mara ke peringkat kalah mati, sesuatu yang belum pernah dicapai Scotland di Piala Dunia.

Namun mereka terpaksa bertahan dengan tekanan hebat pada penghujung perlawanan sebelum memastikan tiga mata berharga, sekali gus membuka laluan ke kelompok 32 terbaik.
Haiti, pasukan ranking ke-84 dunia, menyedari cabaran besar menanti mereka dalam kejohanan ini sebelum berdepan lawan lebih kuat.
Scotland akan menentang Maghribi di stadium sama pada perlawanan seterusnya sebelum bertemu Brazil di Miami. Maghribi dan Brazil sebelum itu terikat 1-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan C.
Kejayaan Haiti melayakkan diri ke Piala Dunia dianggap antara kisah inspirasi kejohanan ini, susulan keadaan tidak stabil di negara itu yang menyukarkan persiapan kelayakan di laman sendiri.
Barisan Haiti turut diperkuatkan pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris seperti Jean-Ricner Bellegarde dan Wilson Isidor.

Scotland bagaimanapun memiliki kelebihan dari segi pengalaman dengan kehadiran pemain seperti John McGinn, Andy Robertson dan Scott McTominay.
McTominay hampir membuka jaringan pada minit ke-17 apabila rembatan jarak dekatnya terkena tiang hasil hantaran Ben Gannon-Doak.
Scotland membuka jaringan pada minit ke-28 apabila Che Adams menarik pertahanan lawan sebelum hantaran Gannon-Doak disudahkan McGinn, yang masuk menerusi defleksi kaki Jean-Ricner Bellegarde.
Haiti meningkatkan tekanan pada penghujung perlawanan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun pertahanan Scotland kekal bertahan hingga wisel penamat.
Pemain sayap Ruben Providence menjadi ancaman utama di bahagian serangan, manakala Frantzdy Pierrot hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-85, namun tandukannya tersasar.
Haiti akan menentang Brazil pada perlawanan seterusnya di Philadelphia selepas tewas semua perlawanan pada penampilan sulung mereka di Piala Dunia 1974. – AFP