KUALA LUMPUR: Jangkaan kepada kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat akan menetapkan hala tuju untuk kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives minggu depan.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, pasaran emas kekal dipengaruhi oleh niaga hadapan, menunjukkan kemungkinan penurunan kadar lebih 50 peratus oleh Fed untuk langkah seawal Mac.
Selain itu, katanya, pasaran niaga hadapan mengunjurkan penurunan sejumlah 145 mata asas sehingga Disember, memberikan sokongan kepada harga emas.
“Risiko geopolitik global yang semakin meningkat turut menyumbang kepada tarikan logam itu sebagai aset selamat,” katanya kepada Bernama.
Dari aspek teknikal, Innes berkata terdapat jangkaan sokongan pada AS$2,020 setiap auns troy manakala paras halangan dilihat pada AS$2,050 setiap auns troy pada minggu akan datang.
“Peniaga dan pelabur akan terus memantau petunjuk ekonomi, komunikasi bank pusat dan perkembangan geopolitik untuk petunjuk hala tuju masa depan harga emas,” katanya.
Bagi minggu baharu berakhir, jumlah niaga hadapan emas dalam pasaran tempatan merosot kepada 152 lot daripada 202 lot diniagakan pada minggu sebelumnya.
Kepentingan terbuka meningkat kepada 434 kontrak daripada 111 kontrak minggu lepas.
Pada asas mingguan, kontrak bulan semerta Januari 2024 susut kepada AS$2,033.50 setiap auns troy daripada AS$2,045.00 setiap auns troy sebelum ini dan Februari 2024 merosot kepada AS$2,043.30 setiap auns troy daripada AS$2,055.20 setiap auns troy.
Kontrak bagi Mac 2024, April 2024 dan Jun 2024, masing-masing ditutup kepada AS$2,050.60 setiap auns troy daripada AS$2,061.70 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Harga emas fizikal sebanyak AS$2,013.20 setiap auns troy, menurut London Bullion Market Association pada 18 Januari. – Bernama