KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan tempoh pemulihan ekonomi negara memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan selepas krisis COVID-19 berakhir, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurut beliau, keadaan akan kembali pulih bukanlah dengan kadar segera, maka disebabkan itu sasaran tempoh tersebut dipilih adalah dilihat wajar.
“Disebabkan itu, segala pembayaran, seperti hutang bank, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) ditangguhkan enam bulan, jadi itulah jangkaan kita. Kita doakan begitu, maka sudah pasti kita perlu cari strategi lain untuk memulihkan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam semalam.
Beliau berkata pelbagai sektor termasuk sektor pelancongan, perhotelan, peruncitan serta pelaburan negara terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Sektor pelancongan umpamanya, orang tidak akan datang serta-merta ke Malaysia, jadi kita perlu membuat promosi yang agak agresif,” katanya.
Menurut Mustapa, ada sesetengah negara terjejas COVID-19 menjangkakan negara mereka akan mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan sehingga setahun bagi membangunkan kembali ekonomi masing-masing.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan sedia mengadakan perbincangan dan menerima cadangan daripada sebahagian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro yang mendakwa tercicir daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).
“Ia merupakan bilangan yang besar dan sudah pasti ia di luar kemampuan kerajaan. Apapun kerajaan sentiasa terbuka kerana PKS ini peranannya besar iaitu lebih 60 peratus yang bekerja dalam sektor PKS.
“Oleh itu adalah penting kerajaan sentiasa berbincang dalam Majlis Tindakan Ekonomi, insya-Allah, bagi tingkatkan lagi libat urus dengan pihak-pihak berkenaan,” katanya.
Ketika ini, terdapat kira-kira 907,000 usahawan tempatan di seluruh negara.- Bernama