MANCHESTER, England: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes berkata peminat kelab itu tidak boleh mengendurkan jangkaan mereka sekalipun Red Devils bergelut musim ini, terutamanya di Old Trafford.
Fernandes menyelamatkan pasukannya dengan gol kemenangan masa kecederaan untuk menundukkan Rangers 2-1 awal pagi tadi sekali gus menghampiri kelayakan secara automatik ke pusingan 16 terakhir Liga Europa.
United kalah empat daripada lima aksi terakhir di gelanggang sendiri, yang menyebabkan pengurus Ruben Amorim mengisytiharkan pasukan itu sebagai “terburuk” dalam sejarah kelab.
“Di kelab ini, anda perlu menang setiap perlawanan, anda tahu jika anda tidak menang perlawanan di sini ia pasti sukar, akan ada detik yang menyulitkan,” kata Fernandes kepada TNT Sports.
“Ini satu kelab besar yang biasanya menang perlawanan. Saya harap penyokong kami tidak pernah terbiasa kalah perlawanan, sekalipun ini satu pengalaman sukar. Saya mahu mereka berasakan pasukan ini perlu menang setiap perlawanan.”
Satu mata di kelab Romania, FCSB minggu depan sepatutnya cukup untuk meraih penamat lapan teratas Liga Europa buat United sekali gus mengelak aksi playoff.
Amorim terdesak untuk layak secara automatik ke pusingan 16 terakhir untuk memberikannya lebih banyak masa di padang latihan bagi menerapkan ideanya.
Fernandes mempunyai impian besar ketika dia menyasarkan untuk memenangi pertandingan itu di Bilbao pada Mei depan.
Hari ini penting untuk menang kerana kami mahu meloloskan diri dalam Liga Europa, kami mahu layak ke final,” katanya.
“Kami mahu berada dalam kelompok lapan teratas jadi kami boleh mengelak bermain dua perlawanan tambahan.” – AFP