SRI AMAN: Rakyat dinasihat agar tidak segan silu menemui para pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan penempatan masing-masing jika mereka mempunyai masalah untuk diluahkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, tindakan rakyat itu penting agar pemimpin GPS mengetahui masalah yang berlaku di kawasan tadbir mereka dengan lebih teliti.
“Jika wakil rakyat GPS hadir di kawasan penempatan anda (rakyat) untuk menjayakan program tertentu, sila ambil kesempatan itu untuk meluahkan masalah berkenaan kepada mereka.
“Jika tidak dapat berbuat demikian, rakyat boleh bertindak menemui kakitangan pemimpin itu atau pergi ke pusat khidmat mereka untuk menyampaikan masalah berkenaan kelak,” kata beliau.
Mong ketika berucap merasmikan Program Randau@Begunan di Rumah Luang, Kemintin Klauh di sini berkata, tindakan mereka itu juga akan membolehkan wakil rakyat GPS melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, beliau juga mengajak rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Begunan untuk terus menyambut baik dasar Politik Pembangunan yang diilhamkan bekas Ketua Menteri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebelum ini.
“Dasar berkenaan adalah merupakan resepi pembangunan yang terbaik untuk rakyat negeri ini kerana ia memperkukuh asas kestabilan politik menerusi ikatan perpaduan yang padu dalam kalangan mereka.
“Asas kestabilan politik yang kukuh juga membolehkan kerajaan pimpinan (GPS) melaksana pelbagai projek mega negeri ini,” kata Mong.
Justeru, beliau mempelawa rakyat khas di Bukit Begunan ini untuk kekal menyokong kesinambungan dasar politik pembangunan agar anak cucu mereka dapat menikmati masa depan lebih baik.
Mong pada program itu mengumumkan peruntukan RM11,000 Rumah Lani, Klauh Kemintin dengan peruntukan sebanyak RM8,000 lagi diumum untuk Rumah Jeffery, Munggu Kemintin.
Beliau juga turut mengumumkan peruntukan RM8,000 kepada Rumah Denis, Kemintin Klauh dan RM8,000 lagi untuk Rumah Bangau, Kemintin Klauh.
Saint Maria Chapel di sini juga turut diumum peruntukan RM300,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Bukit Begunan bagi 2021 bagi tujuan naik taraf rumah ibadat berkenaan kelak.
Oleh Valentine Ngumbang