SIBU: Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting menasihati penduduk warga Sibu supaya tidak menyebarkan berita palsu mengenai COVID-19 sehingga menimbulkan suasana panik kepada orang ramai.
Ting berkata, beliau berasa kesal apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu yang memberi amaran supaya tidak menggunakan termometer suhu telinga di Delta Mall Sibu di sini, kerana yang dikhuatiri tercemar dengan Covid-19.
“Pihak pusat beli belah berkenaan sudah menjelaskan bahawa mereka sentiasa membersihkan termometer telinga berkenaan dengan menggunakan alkohol setiap kali selepas digunakan.
“Oleh itu, saya menggesa orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita palsu sebegini. Tetapi, jika mereka berasa tidak selesa dengan ini, mereka boleh berkunjung ke tempat lain,” katanya baru-baru ini.
Ting berkata sebenarnya pusat membeli-belah Delta Mall adalah pusat membeli-belah pertama di Sibu yang mengambil langkah kawalan orang ramai sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Ini termasuk pemeriksaann suhu, hanya topeng muka yang dibenarkan masuk, pendaftaran dan penjarakkan sosial dalam, sementara ketika itu belum ada pasar raya berbuat demikian.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sibu, Dr Wong Chua Wei ketika dihubungi berkata, pemeriksaan suhu telinga adalah lebih tepat daripada menggunakan termometer inframerah.
Namun, katanya, ia memerlukan kontak rapat dan muncung termometer berkenaan perlu ditukar setiap kali digunakan.
“Kebiasaanya, muncung termometer telinga tersebut mempunyai pelapik untuk sekali guna. Atau mereka boleh menggunakan alkohol untuk membersihkannya.
“Mereka yang menggunakan alat ini juga perlu melakukan penjarakan sosial,” jelasnya.