KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan meminta orang ramai supaya menilai semua naratif palsu Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 sehingga mereka kehilangan kuasa.
Pengerusi SUPP Cawangan Stakan, Sim Kiang Chiok berkata, Pakatan Harapan secara konsisten menuduh Malaysia adalah negara yang muflis dalam misi mereka merebut kuasa di Putrajaya.
“Ini suatu pembohongan besar. Hakikatnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat menyediakan tiga pakej rangsangan yang berbeza bagi membantu memulihkan ekonomi. Dalam tiga pakej itu, kerajaan PN berjaya memperuntukkan RM295 bilion sebagai rangsangan dan pemulihan,” katanya.
Menurutnya, Tun Mahatir sendiri telah menjelaskan dalam beberapa hari sebelum berkuasa sebenarnya Malaysia mempunyai simpanan tunai RM2 trilion dan mampu mengatasi wabak Covid-19, fakta yang kemudian disahkan oleh Menteri kewangan baharu Tengku Zafril.
Justeru itu, SUPP Stakan menuntut permintaan maaf daripada mantan Menteri kewangan, Lim Guan Eng dan semua pemimpin Pakatan Harapan yang tidak bertanggungjawab memberitahu rakyat bahawa hutang negara tinggi dan negara akan muflis.
Sim berkata, semua pembohongan itu terbukti tidak benar tetapi ia berlaku dan kebenarannya sekarang dapat dilihat oleh semua rakyat.
Tambahnya, DAP di Sarawak kini mengalihkan pandangan mereka kepada kerajaan Gabungan Parti Sarrawak (GPS) yang mendakwa bajet RM11 bilion pada 2019 akan membuat Sarawak muflis.
Sim menegaskan, SUPP Stakan menggesa orang ramai untuk menilai naratif DAP itu secara mendalam dan sebenarnya DAP sengaja mengalih pandangan rakyat dengan membuat pembohongan demi pembohongan.
“Bahkan Petronas bersetuju untuk membayar semua SST ke atas produk minyak dan gas dan harus mengemukakan lesen perlombongan kepada Agensi Minyak dan Gas Sarawak iaitu Petros.
“Bajet Sarawak berhemat dan berdasarkan pendapatan sebenar dan bukan pada pinjaman atau menggunakan risab negeri,” kata beliau.
Sambil menyambut baik langkah Perdana Menteri memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), SUPP Cawangan Stakan mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia atas kejayaan melandai lekuk pandemik Covid-19.
“Ini bukan tugas yang mudah dalam mengekang pandemik yang belum pernah terjadi sebelumnya dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan terdiri daripada doktor, jururawat, saintist makmal dan perkhidmatan awam,” tegas beliau.
“Mereka telah menjalankan tugas tanpa kenal penat dan lelah untuk melindungi rakyat daripada dijangkiti virus Covid-19 dan kerajaan pula berusaha bersungguh-sungguh mengekang Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” kata Sim.
“Justeru rakyat perlu sentiasa waspada dan berjaga-jaga untuk mengekang virus itu dan mengelakkan gelombang kedua, walaupun sebilangan besar daripada rakyat telah kembali bekerja,” ujarnya
Tambah Sim, Malaysia kini menjadi negara contoh dalam pemulihan yang cepat daripada wabak dan rakyat harus mempertahankan kelaziman disiplin dan penjarakan sosial.
“Ada kemungkinan, jika kita mematuhi SOP dan nasihat kesihatan, kita dapat memutuskan rantai jangkitan Covid-19 tanpa vaksin,” tambahnya
Oleh Cheryl Law