MUKAH: Usahawan wanita yang berasal dari Balingian telah dipilih sebagai penerima Anugerah Ikon Usahawa Kemas Tahun 2019 pada petang Selasa (20 Oktober).
Halipah Sihu menerimanya daripada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Program Wacana Ilmu-Wanita Inspirasiku Peringkat Negeri.
Kadar purata pendapatan sebulan wanita berusia 56 tahun dari Kampung Suyong ialah RM15,000 atau RM150,000 setahun.
Dengan jenama Halisa Enterprise, antara produk keluarannya ialah Kerepek Ubi, Kerepek Pisang, Kerepek Gunting dan Katering.
Dalam ucapan perasmiannya pada majlis warna-warni yang berlangsung di Kingwood Resort Mukah dekat sini itu, Fatimah, menyeru usahawan-usahawan tempatan untuk mendaftarkan usaha atau peniagaan mereka.
“Adalah amat penting untuk memperolehi lesen kerana dengan adanya lesen anda mendapat pelbagai kemudahan bantuan dan pinjaman daripada agensi kerajaan,dan sebagainya termasuk bank. Jadi saya berharap pengusaha kita memandang perkara itu sebagai sesuatu yang utama, justeru itu saya sering menekankan perkara lesen itu pada program yang saya hadiri sebelum ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa kunci kejayaan seseorang usahawan itu adalah sifat ingin berjaya, fokus, gigih dan tidak putus asa.
“Sebagaimana kita tahu asas usahawan wanita yang berjaya ialah semangat jitu untuk menggapai kejayaan, kecekalan, tidak putus asa. Dia juga tidak putus memperkasakan ilmu seperti tidak jemu-jemu mengikuti apa juga program kemahiran. Semangat ingin berjaya itu penting dan ini akan menimbul perasaan ingin merebut apa juga peluang yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau agensi tertentu termasuk pihak swasta yang menawarkan latihan yang dikehendaki. Perkara lain ialah kreativiti dan berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Kita tahu bahawa bukan senang nak jadi senang,” tambahnya lagi.
Selain itu, katanya, sifat yang ingin berkongsi ilmu dan kepakaran juga perlu ada pada usahawanita yang ingin mengecapi sesuatu kejayaan.
“Jangan takut atau lokek dengan ilmu, kerana sifat ingin berkongsi itu boleh membawa berkat pada apa juga usaha yang diceburi,” katanya lagi.
Fatimah, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat, juga percaya kejayaan orang lain juga boleh meniupkan semangat mereka untuk berjaya dalam bidang keusahawanan.
Dan beliau juga mendapati bahawa Ekonomi Digital yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri sudah mulai menampakkan bimbit kerana sekarang ini peniagaan secara atas talian telah menjadi medium popular dikalangan usahawan tempatan, termasuk yang di luar bandar.
Justeru, Fatimah menganggap tema program, Wanita Desa Ke Global sebagai amat bertepatan dengan keadaan semasa yang menyaksikan traksaksi melalui atas talian yang tanpa sempadan.
Sejurus tiba pada majlis tersebut, beliau melawat beberapa buah Booth Pameran & Jualan dan Demonstrasi Dekorasi Cheese Tart.
Pada majlis itu beliau juga melancarkan Buku Direktori Usahawan KEMAS, Penyampaian Kit Peralatan Peserta Kursus Kemahiran Quick Win KEMAS, dan Penyampaian Hadiah Pertandingan.
Turut hadir, ialah Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri(Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Abdullah Saidol, Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Yussibnosh Balo, Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Khairuddin Mohd Nasir, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Faridah Osman, Pegawai Kemas Bahagian Mukah, Peggy Ann Iba Matu, Temenggong Hendi Suhai, Ketua-ketua jabatan, Ketua-ketua masyarat dan Ketua-ketua kaum.