KABONG: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.40 Kabong diingatkan agar tidak terlalu selesa serta leka atau alpa sebaliknya, terus bekerja keras untuk pastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) nanti.
Pengerusi PBB N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, keputusan cemerlang yang dilakar sebelum ini (PRN-11) lalu tidak sepatutnya memberi keselesaan kepada jentera.
Namun begitu katanya, aspek penting perlu diberi perhatian adalah melibatkan kerjasama antara kepimpinan PBB di peringkat cawangan dan ranting.
“Kita tidak boleh terlalu selesa dengan keputusan cemerlang dalam pilihan raya lalu, sebaliknya jentera PBB N.40 Kabong hendaklah berusaha memantapkan parti dengan terus berdiri teguh dan mempersiapkan jentera bagi menghadapi PRN-12 akan datang.
“Oleh itu, kita perlu pastikan PBB berjaya dengan cemerlang dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku presiden PBB dan pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), kembali diberi mandat untuk mentadbir negeri ini,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong.
Chee Kadir berkata, walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong dikategorikan sebagai kawasan ‘putih’, namun ia bukan alasan untuk tidak bekerja keras untuk mengekalkan kejayaan seperti PRN-11 lalu.
Beliau berkata, wakil rakyat GPS khususnya, PBB sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya yang diadakan pada bila-bila masa.
Katanya lagi, wakil rakyat GPS sentiasa turun padang bukan sahaja menyantuni rakyat malah memastikan semua projek pembangunan berjalan lancar demi kemajuan rakyat.
“Saya yakin wakil rakyat GPS di negeri ini mampu meraih sokongan padu masyarakat dan pengundi berdasarkan sokongan dan kerjasama ditunjukkan mereka selama ini.
“Kerajaan GPS mempunyai rekod cemerlang, malah pencapaiannya memajukan negeri termasuk meningkatkan taraf hidup rakyat di satu-satu kawasan tersebut.
“Sokongan padu peringkat akar umbi dengan usaha pembangunan dilaksanakan Kerajaan Sarawak memberi impak positif kepada rakyat. Oleh itu, kita berharap mereka menghargai usaha murni ini,” ujarnya.
Menurut Chee Kadir, pada masa kini, jentera parti bersiap sedia dan memperkukuh parti menghadapi PRN terdekat ini yang merangkumi persiapan segenap aspek.
Katanya, persiapan itu adalah memastikan kesiapsiagaan jentera parti menghadapi PRN yang kian mencabar.
“Ini merupakan usaha bagi memastikan jentera parti tidak leka dengan situasi semasa. Pada PRN ini kita mahu memastikan GPS mampu mencapai kemenangan majoriti di samping mendapati kepercayaan penuh peringkat akar umbi.
“Masa depan dan survival masyarakat di DUN Kabong terletak di tangan GPS, oleh itu kita perlu memberi sokongan padu kepada wakil rakyat GPS yang bertanding di kawasan ini,” jelasnya.
Beliau berkata, kelangsungan perjuangan GPS ‘Sarawak First’ amat penting dan jentera semua peringkat perlu bekerja keras membantu kemenangan parti.
Sementara itu, Chee kadir menambah, PBB selama ini memiliki rekod politik cukup baik kerana perpaduan dan disiplin tinggi kalangan anggotanya sehingga berjaya mengukuhkan kedudukan dalam setiap pilihan raya negeri ini.
“Saya mahu ahli PBB terutamanya, PBB Cawangan N.40 Kabong jangan berpeluk tubuh sebaliknya harus terus bersatu memperkasa parti,” katanya.
Oleh Adi Safarman