

KUCHING: Senator-Senator Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan bahawa tuntutan Sarawak terhadap hak minyak dan gasnya berlandaskan fakta sejarah serta perundangan yang sah.
Naratif mengelirukan yang sering disebarkan oleh pihak tertentu, termasuk laporan dalam Free Malaysia Today pada 15 Mac bertajuk ‘End bickering over Petronas’s O&G rights, ex-Treasury man tells Sarawak’, ditolak sepenuhnya.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Senator GPS menjelaskan bahawa sebelum penyertaan Sarawak dalam Malaysia pada 1963, negeri itu sudah mempunyai kawalan penuh ke atas sumber minyak dan gasnya menerusi Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO 1958).
Selain itu, Konvensyen Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1954 mengiktiraf sempadan pelantar benua Sarawak sejauh 200 batu nautika, berbeza dengan Malaya yang ketika itu tiada sebarang perundangan berkaitan hidrokarbon.
Bagaimanapun, selepas tragedi 13 Mei 1969, kerajaan Persekutuan mengehadkan sempadan laut Sarawak kepada hanya tiga batu nautika melalui Ordinan Darurat No. 7/1969 dan Ordinan Darurat No. 10/1969.
Senator GPS mendakwa tindakan ini telah menghakis hak negeri itu tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sekali gus bertentangan dengan Perkara 2(b) Perlembagaan Persekutuan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
GPS turut mempertikaikan keabsahan perjanjian 1976 yang dikatakan menyerahkan hak minyak Sarawak kepada Petronas. Menurut mereka, perjanjian itu tidak pernah dibawa ke DUN Sarawak untuk kelulusan rasmi, justeru tidak sah dari segi perundangan negeri.
Sehubungan itu, GPS menuntut kerajaan Persekutuan mengiktiraf hak penuh Sarawak ke atas sumber minyak dan gasnya, menegaskan bahawa OMO 1958 masih berkuat kuasa, dan menggesa kajian semula ke atas perubahan sempadan laut negeri itu.
“Kami menolak dakwaan bahawa tuntutan ini adalah sekadar perbalahan politik. Sebaliknya, ini adalah perjuangan berasaskan perlembagaan dan keadilan sejarah. Sarawak bukan negeri jajahan, dan hak sumber aslinya tidak boleh dirampas tanpa persetujuan rasmi,” menurut kenyataan itu.
GPS juga menggesa agar media Persekutuan lebih bertanggungjawab dalam melaporkan isu ini dan tidak menyebarkan maklumat yang mengelirukan.