BINTULU: Kemajuan pembinaan jambatan Bintulu-Jepak sudah melebihi daripada jadual iaitu pada 87.82 peratus setakat hari ini, berbanding sasaran 87.38 peratus.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek pembinaan itu kekal mengikut jadual untuk tarikh jangkaan siap.
“Saya telah diberi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan saya dimaklumkan ia dijangka dibuka untuk kegunaan orang ramai menjelang Februari tahun depan.
”Ia adalah berita baik untuk Bintulu dan juga Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana pembinaannya masih berjalan dengan agak baik meskipun menghadapi beberapa cabaran semasa Covid-19 melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke tapak projek pembinaan jambatan tersebut, hari ini.
Dalam pada itu, Uggah turut memuji usaha pasukan pembinaan jambatan yang telah menyelesaikan isu dengan berkesan sekali gus memuji semua pihak yang terlibat termasuk kontraktor dan JKR dalam menjayakan pelaksanaannya.
”Jadi, kita berdoa agar baki projek dapat disiapkan mengikut jadual dan saya yakin kontraktor akan dapat menjalankan tugas dengan baik,” tambahnya.
Sebelum ini, jambatan tersebut dikategorikan sebagai projek bermasalah tetapi kini pembinaannya dijangka siap mengikut jadual berikutan pelantikan kontraktor penyelamat.