
MUKAH: Jambatan Batang Igan bakal dibuka kepada orang awam pada 15 Mac depan, menjelang sambutan Aidilfitri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ini sekali gus menamatkan kebergantungan penduduk setempat terhadap perkhidmatan feri yang sebelum ini mengambil masa sehingga setengah jam untuk menyeberangi Batang Igan.

Menurutnya, pembinaan jambatan tersebut adalah satu peristiwa bersejarah bagi penduduk di kawasan itu kerana ia bakal menjadi pemangkin utama kepada perkembangan sosioekonomi, akses pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta perhubungan penduduk di Mukah khususnya di sekitar Jemoreng dan Batang Igan.
“Kalau dahulu menggunakan feri mengambil masa hampir setengah jam, kini hanya mengambil masa kira-kira satu minit untuk menyeberang Batang Igan. Ini sudah tentu membawa perubahan besar kepada kehidupan harian penduduk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyambungan Struktur (Stitching Ceremony) Jambatan Batang Igan, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II berkata, pada asalnya projek Jambatan Batang Igan dicadangkan untuk dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, namun diambil alih oleh kerajaan Sarawak di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan ia dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
“Tahun lalu, lapan jambatan siap dibina di Sarawak dan tahun ini kita menjangkakan sembilan lagi jambatan akan siap termasuk jambatan ini (Jambatan Batang Igan).
“Ini membuktikan komitmen kerajaan GPS dalam memastikan pembangunan infrastruktur terus dipergiat di seluruh Sarawak,” ujarnya.

Katanya, Jambatan Batang Igan sepanjang 1,439.4 meter (1.4 kilometer) itu dibina mengikut piawaian JKR R5, mempunyai dua lorong (dual carriageway) serta menggunakan struktur T-beam dengan kaedah prategangan dan kantiliver seimbang dengan kaedah post-tension .
“Kos keseluruhan projek tersebut adalah sebanyak RM285,536,700 dan turut merangkumi pembinaan jalan pendekat di kedua-dua belah jambatan.
“Dengan siapnya jambatan itu, perkhidmatan feri di kawasan berkenaan akan dihentikan dan feri tersebut akan dipindahkan ke kawasan lain yang masih memerlukan perkhidmatan tersebut,” ujarnya.
Uggah berkata, projek infrastruktur seperti ini bukan sahaja memudahkan pergerakan rakyat, malah membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan penduduk luar bandar.
“Ini adalah semangat GPS. Kita berjanji, kita laksana dan kita siapkan,” tegasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR, kontraktor serta penduduk setempat yang memberi kerjasama sepanjang tempoh pembinaan projek tersebut meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk faktor cuaca.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya mewakili penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada kerajaan GPS atas usaha berterusan membangunkan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng itu berkata, detik bersejarah ini amat bermakna kerana ia membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol serta yang lain.
Oleh Akun Giman