
SIBU: Pembinaan jambatan dari pusat bandar ini dari Kampung Hilir/Simpang Tiga ke kawasan Tebing Barat Sibu (Sungai Bidut) mendapat lampu hijau daripada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut Premier Sarawak, projek ini akan membuka peluang ekonomi baharu terutama dalam sektor pertanian, sejajar dengan sasaran kerajaan untuk memperkukuhkan ketahanan makanan di negeri ini.
“Cadangan pembinaan jambatan ini dikemukakan oleh Ketua Pemuda SUPP Pusat, Kevin Lau, yang mencadangkan sebuah jambatan sepanjang anggaran 400 meter.
“Dengan panjang seperti itu, tiada masalah kerana kita telah membina banyak jambatan lebih besar di Sarawak. Kita melakukan apa yang kita janji,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sibu, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Sebagai langkah susulan, Abang Johari mengarahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa tugas khas bagi mengetuai projek pembinaan jambatan tersebut.
“Melalui jawatankuasa ini, Dr Annuar dan Michael Tiang akan melihat potensi pembangunan kawasan tersebut, termasuk penggunaan tanah untuk aktiviti ekonomi,” tambahnya.
Jambatan ini dijangka merentasi Sungai Igan dan akan memudahkan pembangunan di kawasan seberang sungai, membuka akses baru ke kawasan pedalaman yang akan menyambung ke jalan menuju Mukah.
Menurut Abang Johari, projek ini turut memberi peluang untuk meningkatkan infrastrukur dan pemandangan bandar yang lebih menarik.
“Idea baharu, cara berfikir baharu, dan orang ramai mesti memberi sokongan (terhadap pembinaan jambatan ini).
“Jangan kalah dengan Bintulu di mana jambatan mereka seperti di San Francisco. Kita mahu jambatan ini menjadi ikon seperti jambatan di Shanghai, untuk memperindah Sibu,” jelasnya.
Sementara itu, Kevin Lau, yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan dan pengerusi majlis tersebut, berkata pembinaan jambatan ini akan memberi impak positif kepada ekonomi dan pembangunan kawasan Bawang Assan.
“Ini adalah permintaan saya yang penuh harapan, kerana saya percaya jambatan ini akan melonjakkan pembangunan di kawasan kami,”katanya.
Oleh Tarani Lanting