Idea muncul untuk mengubah jambangan bunga coklat selepas melihat salah seorang daripada anggota keluarganya memberikan hadiah berbentuk gubuhan bunga coklat pada sambutan hari lahir anak dan hari ulang tahun perkahwinan kakaknya sejak tahun lalu.
Perasaan ingin tahu dan ingin mempelajari sesuatu yang baru menjadi titik tolak untuk Rosilawati Junaidi dan kakaknya Rabuyah Junaidi menceburkan diri dalam bidang gubuhan jambangan bunga coklat tersebut.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang itu, Rosilawati yang ingin dikenali sebagai Iqa berkata, dia tidak menyangka percubaan membuat gubahan jambangan coklat mendapat pujian daripada rakan-rakan dan ahli keluarganya.
“Saya dan kakak mula bergiat secara aktif dalam penjualan gubahan bunga coklat ini pada bulan Disember 2020 sehingga kini.
“Melihat kegembiraan yang terpancar di wajah individu yang menerima jambangan gubahan bunga coklat membuatkan kami berasa puas hati dan ia adalah pengalaman yang menyeronokan kerana dapat menggembirakan penerima hadiah,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak mempunyai pengalaman untuk mengubah gubahan coklat tersebut namun beliau dan kakaknya mengambil pendekatan dengan mempelajari cara membuat gubahan bunga coklat kreatif melalui platform digital.
“Pada awalnya, saya dan kakak belajar mengenai gubahan bunga coklat ini melalui YouTube dan Facebook untuk mencari idea bagi mencantikkan dan mempelbagaikan gubahan jambangan coklat kami.
“Selain mempelajari cara gubahan jambangan bunga coklat melalui dua platform tersebut (YouTube dan Facebook), kami turut mempelajari cara mengubah bunga coklat ini daripada permintaan pelanggan mulai dari situ kami dapat meningkatkan kemahiran yang sedia ada.
“Kini, kami mempelbagaikan gubahan bunga bukan hanya coklat malah ada juga gubahan bunga duit,” ujarnya.
Menurut Iqa, memandangkan dia mempunyai kerjaya tetap, tugas menyiapkan tempahan pelanggan di lakukannya selepas balik ke rumah terutama pada waktu petang atau malam.
“Cabaran utama dalam menceburi bidang ini dimana pelanggan akan membuat tempahan minit terakhir dan saya akan mengejar masa untuk menyiapkan tempahan.
“Walaupun menerima tempahan minit terakhir, namun setakat ini saya masih dapat menyiapkan tempahan dalam masa yang dikehendaki oleh pelanggan,” katanya.
Katanya, bagi sesiapa yang ingin menceburi diri dalam gubahan jambangan bunga dan coklat ini harus berani untuk mencuba dan terus berusaha untuk mencari idea-idea kreatif di dalam penghasilan gubahan jambangan coklat.
Oleh Jeakqleyn Yacho