SIBU: Jalan Song/Sipan-Temalat ditutup sementara susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku pagi tadi, menyebabkan gangguan kepada laluan utama di kawasan berkenaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya memaklumkan, penutupan jalan ini bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan demi keselamatan pengguna jalan raya.
“JKR Sarawak menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dengan mengambil kira keadaan ini serta mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada 9.54 pagi.
“Bertindak atas laporan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song terus bergerak ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada 10.03 pagi dan segera menjalankan pemantauan serta memasang tali sawar-sawar keselamatan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pengguna jalan raya.
“Orang awam dinasihatkan agar tidak melalui kawasan berkenaan sementara menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, orang ramai juga disarankan supaya lebih berhati-hati, terutama ketika melalui kawasan berbukit yang berisiko mengalami kejadian tanah runtuh dan tanah susur,” katanya.
Operasi pemantauan dan keselamatan yang bermula pada 10.00 pagi berjaya dikawal dalam tempoh 15 minit dan selesai sepenuhnya pada 10.25 pagi.
Pasukan operasi kemudian bertolak balik ke balai pada 10.32 pagi dan tiba di BBP Song lapan minit kemudian.
Oleh Akun Giman