
SARATOK: Pelaksanaan Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka terus memperkukuh jaringan prasarana luar bandar, memberi manfaat besar terutamanya kepada penduduk di Kampung Hulu, Tengah dan Hilir Perpat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menzahirkan penghargaan kepada KKDW atas sumbangan projek berimpak tinggi itu yang kini telah siap dan sedang dalam pelaksanaan di beberapa lokasi.
“Projek ini bukan sahaja menyediakan kemudahan asas kepada penduduk, malah memudahkan pergerakan harian ke kebun dan kawasan sekitar, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bersama Pengarah KKDW Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah bagi meninjau kemajuan projek JPD di Kampung Perpat hari ini.

Menurutnya, penambahbaikan jalan di kawasan tersebut memberi limpahan manfaat kepada lebih 250 rumah dan rumah panjang, di bawah seliaan tiga Ketua Kampung dan seorang Tuai Rumah.
Mohammad Duri menambah, kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar agar tiada komuniti tercicir daripada arus kemajuan negara.
Turut hadir dalam tinjauan berkenaan ialah Jurutera Mohd Hisyam, pegawai dari KKDW, Ketua Kampung Hilir, Ketua Kampung Tengah, Ketua Kampung Hulu serta Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Saee Ason.
Oleh Adi Safarman