ADI SAFARMAN
BETONG: Seramai 90 penduduk daripada dua rumah panjang di kawasan Sungai Batang Skrang terputus hubungan apabila jalan yang menghubungkan kedua-dua rumah panjang terbabit tenggelam sejak pagi semalam.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, PBK I Henry Ak Jugah, berkata dua rumah panjang yang terjejas itu ialah Rumah Tawie Ragai Duri Bangat dan Rumah Dusi Chol, Bukong Asal, berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan jalan utama yang menghubungkan dua rumah panjang berkenaan ditenggelami air.
Katanya penduduk kawasan terbabit terputus hubungan dan tidak dapat keluar rumah terutamanya ke bandar Betong dan air surut akan mengambil masa beberapa hari.
“BBP Betong semalam menerima panggilan daripada seorang penduduk yang memaklumkan jalan utama yang menghubungkan kedua-dua rumah panjang terbabit tidak dapat dilalui oleh penduduk sejak pagi semalam,” katanya.
Henry berkata disebabkan limpahan air Sungai Batang Skrang, telah menyebabkan kawasan rendah dinaiki air setinggi sehingga tiga kaki.
Henry berkata beliau mengarahkan anggotanya supaya sentiasa memantau perkara itu dan setakat ini hanya kampung berkenaan yang terputus hubungan sehingga semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata dua anggota BBP Betong menuju ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan daripada penduduk sekitar jam 10.00 pagi semalam.
“Kita (BBP Betong) mula siap sedia dengan mengarahkan anggota bersiap sedia 24 jam dan akan dikerahkan bila-bila masa jika perlu atau ada mangsa yang terpaksa dipindahkan,” ujar beliau.
Henry berkata, walaupun keadaan tersebut agak terkawal, namun pihaknya sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat.