MIRI: Jalan menuju Bukit Kanada yang menjadi akses penting ke salah satu lokasi pelancongan utama di Miri dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian tepi laluan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna.
Tinjauan Utusan Sarawak hari ini mendapati sebahagian bahu jalan kelihatan terhakis dan rosak, manakala penghadang plastik yang dipasang di kawasan berkenaan turut kelihatan tumbang di tepi jalan.
Keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pengguna, khususnya pelancong yang menggunakan jalan berkenaan untuk berkunjung ke kawasan Bukit Kanada.
Bukit Kanada merupakan antara lokasi ikonik di Miri yang menjadi tumpuan pelancong, termasuk kawasan The Grand Old Lady. Keadaan ini menjadikan aspek keselamatan dan penyelenggaraan jalan berkenaan penting bagi memastikan akses ke kawasan pelancongan itu sentiasa selamat dan selesa.
Pihak berkaitan diharap dapat mengambil tindakan segera untuk membaiki bahagian jalan yang rosak serta memastikan penghadang dan kemudahan keselamatan lain di lokasi berkenaan berada dalam keadaan baik.
Oleh Liong Chai Ling





