
KUCHING: Ahli Majlis MPP Gerald Goh berkata satu isu berpanjangan yang menjejaskan komuniti setempat di kawasan komersial Batu 10 akhirnya diselesaikan apabila kerja pembaikan jalan siap hari ini.
Beliau berkata keadaan permukaan jalan sebelum ini dibiarkan dalam keadaan teruk selepas kerja pembaikan paip air bawah tanah tanpa penurapan semula yang sempurna.
“Sejak pelantikan saya sebagai ahli majlis tahun lalu, antara isu berulang yang saya perhatikan di lapangan ialah kelewatan kerja pemulihan selepas pembaikan seperti ini, yang sering menyebabkan keadaan jalan tidak rata,” katanya.
Menurutnya, keadaan tersebut telah menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya serta memberi kesan negatif kepada persekitaran.
Goh berkata melalui penglibatan berterusan dan tindakan susulan bersama pihak berkaitan, beliau mengalu alukan langkah proaktif Sarawak Water Sdn Bhd melancarkan aplikasi mudah alih.

“Platform ini membolehkan orang ramai melaporkan isu berkaitan air dengan lebih mudah, sekali gus mempercepatkan tindak balas dan penyelesaian yang lebih efisien,” katanya.
Beliau menggesa orang ramai memuat turun dan menggunakan aplikasi tersebut bagi membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta memastikan isu ditangani dengan segera.
Goh turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Water atas inisiatif tersebut dan menambah bahawa kerjasama berterusan antara agensi dan komuniti akan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terjaga.
Oleh Connie Chieng