
KUCHING: Jalan Abell berpotensi muncul sebagai hab automotif baharu di bandar raya ini dalam tempoh lima tahun akan datang susulan kemasukan beberapa jenama kenderaan utama yang dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di kawasan tersebut.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, perkembangan itu didorong oleh peningkatan pelaburan sektor automotif yang bukan sahaja mengubah landskap Jalan Abell, malah memberikan nafas baharu kepada kawasan berkenaan.

Menurutnya, pembukaan Pusat 3S Hyundai merupakan antara perkembangan positif selepas beberapa jenama automotif lain turut memilih Jalan Abell sebagai lokasi operasi masing-masing.
“Padungan kini dikenali sebagai kawasan warisan yang menghampiri usia 100 tahun, manakala Jalan Abell pula mempunyai potensinya yang tersendiri.

“Sejak tahun lalu kita menyaksikan beberapa jenama seperti Peugeot, Proton e.MAS dan kini Hyundai memilih untuk bertapak di sini. Ini menunjukkan Jalan Abell sedang melalui satu proses transformasi yang amat positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan Pusat 3S Hyundai Kuching di Jalan Abell, hari ini.

Menurut Wee, kelebihan Jalan Abell bukan hanya terletak pada kehadiran bilik pameran automotif, malah turut disokong pelbagai kemudahan lain seperti hotel, institusi perbankan dan syarikat-syarikat korporat yang beroperasi di kawasan berkenaan.
Katanya, gabungan kemudahan tersebut membolehkan Jalan Abell berkembang sebagai sebuah pusat sehenti bagi pelanggan yang ingin mendapatkan kenderaan serta kemudahan pembiayaan.
“Apabila seseorang ingin membeli kereta, bank untuk urusan pinjaman juga berada di sini. Jadi semuanya lengkap sebagai sebuah pusat sehenti.
“Apabila lebih banyak jenama berkumpul di satu kawasan, pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan dan ia secara tidak langsung menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke sini,” jelasnya.
Tambah beliau, konsep itu turut memberi manfaat kepada pengusaha bilik pameran kerana setiap jenama mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menarik kelompok pelanggan masing-masing.
Dalam pada itu, Wee menyifatkan kemasukan jenama automotif antarabangsa ke Sarawak sebagai bukti keyakinan pelabur asing terhadap kestabilan politik serta dasar kerajaan negeri yang konsisten dalam menarik pelaburan.
“Pelaburan tidak datang begitu sahaja. Ia lahir daripada keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, dasar kerajaan dan kepercayaan bahawa Sarawak merupakan destinasi yang kondusif untuk menjalankan perniagaan.
“Kita perlu menghargai segala pencapaian ini kerana ia hasil usaha kepimpinan serta rakyat Sarawak sendiri dalam mewujudkan persekitaran yang diyakini pelabur,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat tempatan supaya terus menyokong pelaburan yang masuk ke Sarawak dengan mengamalkan nilai profesionalisme, integriti serta menjaga kepercayaan yang diberikan pelabur.
“Kalau kita sentiasa mengubah dasar atau tidak menepati janji, pelabur tidak akan datang. Kepercayaan dan kestabilan merupakan faktor utama yang dicari oleh mana-mana pelabur.
“Jangan hanya mengatakan kita cintakan Sarawak, tetapi tunjukkan melalui tindakan dengan bersama-sama memelihara imej negeri ini serta membantu memperkukuhkan keyakinan pelabur,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Wee berharap lebih banyak jenama automotif termasuk motosikal akan membuka bilik pameran di Jalan Abell sehingga kawasan tersebut dikenali sebagai destinasi utama industri automotif di Kuching.
Beliau optimis sasaran itu mampu direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta penyertaan lebih ramai pemain industri.
“Saya berharap dalam tempoh lima tahun, lebih banyak jenama akan berada di sini. Pada waktu malam nanti, Jalan Abell akan diterangi cahaya bilik pameran dan menjadi satu lagi tarikan baharu di bandar raya Kuching.
“Kami di MBKS akan terus membantu dan memudah cara mana-mana pelabur yang ingin bersama-sama membangunkan kawasan ini,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat