
SIBU: Bandar Sibu berpotensi menjadi salah satu destinasi pelancongan utama Sarawak dengan mengetengahkan keunikan sejarah, budaya serta keindahan alamnya.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, peluang ini harus dimanfaatkan bagi memperkenalkan keindahan bandar tersebut kepada dunia, khususnya dengan kelebihan dimiliki seperti Sungai Rajang yang mempesona serta warisan budaya pelbagai kaum.
“Sibu wajar dijadikan tarikan utama dalam kalendar pelancongan sepanjang tahun. Ia bukan sahaja terkenal dengan hospitaliti dan keindahan alam semula jadi, tetapi juga kepelbagaian makanan tradisional daripada pelbagai kumpulan dialek Cina yang menjadi daya tarikan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada perhimpunan tahunan Tahun Baharu Cina Gabungan Persatuan Cina Bahagian Sibu (UCA) yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Tiong berharap agar Persatuan Cina Sibu dapat bekerjasama dengan industri berkaitan pelancongan bagi mempromosikan makanan tradisional tempatan kepada lebih ramai orang, sekali gus mengukuhkan jenama Sibu sebagai destinasi yang kaya dengan sejarah dan budaya.
Dalam pada itu, Tiong turut menekankan kepentingan infrastruktur yang lebih baik bagi menyediakan kemudahan selesa kepada pelancong.
“Marilah kita bersama-sama berusaha untuk membawa pembangunan Sibu ke tahap lebih tinggi, meningkatkan imejnya dan memastikan lebih ramai orang menghargai nilai budaya serta potensinya.
“Dengan pendekatan positif dan inklusif, kita dapat menghubungkan Sibu dengan dunia dan menyumbang kepada kemakmuran serta kemajuan Sibu dan Sarawak secara keseluruhan,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Komunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Permbangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee dan Presiden UCA Sibu Lau Ing Siong.
Oleh TARANI LANTING