AUCKLAND: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern meraih kemenangan besar dalam pilihan raya negara itu pada Sabtu.
Kebanyakan undi sudah dikira dan Parti Buruh Ardern telah memenangi 49 peratus undi dan dijangkakan beliau akan menang dengan mendapat majoriti mutlak dalam Parlimen negara itu – sesuatu yang jarang berlaku.
Parti lawan yang hanya mendapat 27 peratus undi telah mengakui kekalahan mereka walaupun kiraan masih belum berakhir.
Undian yang pada awalnya dijadualkan pada bulan September ditunda sebulan selepas wabak Covid-19 melanda negara itu.
Pengundian bermula pada jam 9 pagi waktu tempatan dan ditutup pada pukul 7 petang.
Lebih daripada sejuta pengundi telah menjalankan tanggungjawab mereka dalam pengundian awal yang dibuka pada 3 Oktober lepas.
Kecemerlangan Ardern mengawal penularan Covid-19 di negara itu dikatakan menjadi faktor utama beliau memperolehi kemenangan besar dalam pilihan raya kali ini.
Semasa kempen baru-baru ini, Ardern disambut bagaikan bintang apabila masuk ke pusat beli belah di mana ramai orang berswafoto dengannya.
Popularitinya melonjak awal tahun ini setelah berjaya memimpin usaha melawan Covid-19 tatkala banyak negara lain terjejas teruk.
Pada masa ini, tiada penyebaran virus dalam kalangan komuniti direkodkan di negara yang mempunyai populasi penduduk seramai lima juta orang itu.
Penduduk di negara itu juga kini tidak lagi diwajibkan memakai pelitup muka atau menjaga penjarakan fizikal.-AFP