Ketika bermain golf bersama tiga rakan di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang semuanya berasal dari Semenanjung Malaysia, mereka bertanya mengenai perubahan nama jawatan Ketua Menteri Sarawak kepada Premier Sarawak.
Dua daripadanya pernah bertugas di Bumi Kenyalang untuk beberapa tahun dan amat memahami situasi seperti budaya orang Sarawak.
“Sekurang-kurangnya Sarawak boleh tunjuk kuasa (hak) sebenar, bukan sekadar menukar nama jawatan,” kata seorang daripadanya yang bergelar Datuk dan pernah bertugas di Kuching selama kira-kira 3 tahun pada lewat 1980-an.
Cuma mereka tertanya-tanya mengenai penggunaan ‘Premier’ dan mengapa tidak digunakan dalam bahasa kebangsaan.
Begitu pun, masih ramai di Semenanjung tidak atau belum memahami mengapa Sarawak bertindak sedemikian.
Ini semua gara-gara hak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah terhakis.
Mereka lupa atau buat-buat lupa atau buta sejarah bahawa Sarawak ialah satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.
Sarawak dan Sabah tidak pernah masuk Malaysia seperti negeri-negeri lain, tetapi rakan kongsi membentuk Malaysia.
Ya, rakan kongsi – bermakna peruntukan pembangunan tahunan perlu dibahagi kepada tiga wilayah. Ini baru satu bab. Bab lain turut merangkumi satu pertiga kerusi Parlimen, hak maritim serta ketiadaan wakil Sarawak dan Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan banyak lagi.
Untuk perkongsian peruntukan pembangunan, contohnya dalam Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ yang dibentangkan November lalu, mempunyai peruntukan berjumlah RM332.1 bilion.
Jika mengikut konsep perkongsian tiga wilayah, Sarawak dan Sabah, masing-masing sepatutnya dapat RM110.7 bilion.
Tetapi Sarawak diagih hanya RM4.67 bilion, manakala Sabah RM5.16 bilion.
Isu agihan & perkongsian antara tiga wilayah ini jugalah sedang dituntut Sarawak setelah berjaya memaksa Petronas membayar cukai jualan ke atas produk petroleum sebelum ini, iaitu RM2 bilion bagi 2019. Selepas ini pun, Petronas kena bayar setiap tahun kepada Sarawak.
Namun, kita bersyukur apabila akhirnya Kerajaan Pusat bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan November lalu yang mengembalikan semangat yang asalnya difikirkan oleh pihak-pihak kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia berkuatkuasa Februari lalu.
Ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Sebab itu, Sarawak menukar nama jawatan Ketua Menteri yang tidak sama tarafnya seperti Ketua Menteri Melaka dan Pulau Pinang serta Menteri Besar di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Perkara ini juga harus difahami semua, bukan semata-mata melihat perkataan ‘Premier’ dari kaca mata yang sempit.
Dengan itu, status istimewa Sarawak perlu dicerminkan dengan cara yang berbeza daripada negeri-negeri lain dalam Persekutuan.
KERUSI PARLIMEN
Isu tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah juga hangat dibincangkan.
Sebelum Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, komposisi Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia kurang daripada dua pertiga.
Apabila Singapura sudah tiada, kesemua 15 kerusi Parlimen Singapura ketika itu diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu tanpa dibahagi kepada Sabah dan Sarawak.
Mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termaktub bahawa Sarawak dan Sabah, harus memiliki satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak 24 kerusi dan Singapura 15, iaitu mewakili 35 peratus dari keseluruhan 159 kerusi Parlimen, manakala baki 65 peratus atau 104 kerusi adalah untuk Tanah Melayu. Tanah Melayu tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika itu.
Oleh sebab itu, apabila Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, kerusi yang dimiliki Singapura seharusnya diberi kepada Sabah dan Sarawak bagi mengekalkan perwakilan 35 peratus itu.
Justeru, setelah ketiadaan Singapura, seharusnya kerusi yang dimiliki republik itu diberikan kepada Sabah dan Sarawak, sekali gus mengekalkan kuota satu pertiga seperti dalam MA63.
Tambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak itu akan dapat memberi keseimbangan suara, sekali gus sebagai jaminan hak negeri yang sepatutnya didengari.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi adalah di Borneo, iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Seperti kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, komposisi 35 peratus kerusi Parlimen itu sudah termaktub dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
IGC menyatakan bahawa dahulu sebelum Singapura keluar daripada Malaysia, komposisi itu sepatutnya satu pertiga dalam Parlimen.
“Namun, selepas itu, jumlah ini sekarang berkurangan, jadi inilah hak kita yang kita mahukan semula supaya lebih ramai lagi wakil-wakil rakyat kita (Sarawak dan Sabah) berada di dalam Parlimen. Perkara ini jelas dinyatakan menerusi Laporan IGC selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Mungkin usaha untuk menambah jumlah kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah tidak sempat untuk diguna pakai pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang kerana kesuntukan masa.
Seperti kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, cadangan menambah kerusi Parlimen serta persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah dan Sarawak harus dibuat melalui proses perundangan yang betul, seperti terkandung dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, berdasarkan Perkara 113 itu, sebarang kajian semula persempadanan hanya boleh dilakukan dalam masa lapan tahun sekali.
Kajian semula persempadanan yang terakhir untuk Sarawak adalah pada 2015 dan Sabah pula pada 2017.
Maknanya untuk Sarawak, jika ingin melihat penambahan kerusi Parlimen, ia hanya akan berlaku selepas lapan tahun, iaitu pada 2023.
Diharap usaha ini dapat dilakukan mulai tahun depan, supaya ia boleh diguna pakai pada PRU-16.
‘KING MAKER’
Begitu pun, sudah kedengaran kata-kata konon Sarawak dan Sabah maju jadi ‘king maker’ apabila menuntut satu pertiga jumlah kerusi Parlimen.
Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung, dipetik sebagai berkata bahawa tidak timbuk isu mahu menjadi ‘king maker‘ atau penentu dalam sebarang keputusan di Parlimen dalam tuntutan Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan jumlah kerusi yang mewakili satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Katanya, objektif tuntutan itu hanya untuk melindungi hak rakyat di kedua-dua negeri.
Beliau berkata, dengan satu pertiga penguasaan kerusi Parlimen, Sabah dan Sarawak boleh menidakkan apa-apa Rang Undang-Undang (RUU) yang dilihat boleh menjejaskan hak serta kepentingan rakyat di kedua-dua negeri, seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Tidak timbul isu menjadi ‘king maker‘,sebaliknya objektifnya hanyalah melindungi hak Sabah Sarawak sahaja. Pokok pangkalnya, kita semua mesti fahami erti dua pertiga yang bermaksud boleh meluluskan sesuatu RUU.
“Dalam konteks sekarang, meskipun semua 56 Ahli Parlimen, iaitu 25 dari Sabah dan 31 dari Sarawak bersatu membantah sesuatu RUU yang tidak menguntungkan atau merugikan Sabah serta Sarawak, Ahli Parlimen kedua-dua negeri masih tidak terdaya kerana jumlah Ahli Parlimen Semenanjung saja sudah melebihi dua pertiga yang diperlukan untuk meluluskan sesuatu RUU.
“Sebab itu kita lihat hari ini, ada akta atau perundangan yang tidak menguntungkan atau mengambil hak Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kuok Tiung berkata, permintaan Sabah dan Sarawak bagi mendapatkan satu pertiga bilangan kerusi Parlimen itu bukan sesuatu yang keterlaluan, tetapi lebih kepada untuk melindungi hak kedua-dua negeri.
Saya menjelaskan fakta sejarah ini kepada tiga rakan sepermainan golf tadi dan nampaknya mereka memahami.
Justeru, amat penting untuk memberi penerangan serta maklumat berasaskan fakta supaya tidak timbul kekeliruan.